KUALA LUMPUR – Pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung salah guna kuasa dan dakwaan rasuah membabitkan seorang menteri perlu dipandang serius bagi menjaga nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli politik di negara ini.
Setiusaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli berkata, PDRM perlu memandang serius perkara itu, apatah lagi pendedahan itu dibuat sendiri oleh seorang Ketua Polis Negara yang masih berkhidmat ketika itu.
“Kalau ianya sesuatu yang dibuat-buat, maka kesannya terhadap diri beliau sendiri adalah besar dan boleh dipercayai.
“Tapi bila dia berani menyatakan perkara begini ianya memberikan gambaran betapa rosaknya sistem sedia ada yang mengendalikan PDRM sendiri,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Pada 30 April lalu, Abdul Hamid pada sidang media terakhirnya menyerang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin susulan orang politik cenderung untuk menggunakan PDRM demi kepentingan politik dan perkara itu perlu dihentikan.
Dalam pada itu, Hatta tidak mahu institusi badan keselamatan itu dipandang rendah dan diperlekeh masyarakat susulan campur tangan dan percaturan dalaman pihak pengurusan PDRM oleh ahli politik.
“Kita dukacita kerana dalam masa sama juga berita-berita mengenai penglibatan badan dan bahagian warga PDRM dalam scam dan kartel, ini tentu memburukkan nama polis.
“Apabila didedahkan KPN sendiri tentang peranan Menteri dan cuba mengatur gerakan dalam PDRM saya rasa ini serius.
“Kami tidak mahu PDRM satu institusi dipandang rendah dan diperlekeh oleh masyarakat kerana dipermainkan oleh individu-individu termasuk menteri,” katanya.
Hatta juga menggesa PDRM membuka kertas siasatan berhubung cubaan membeli wakil rakyat di Sabah dalam satu pertemuan membabitkan seorang Menteri.
“Kita harap PDRM buat siasatan yang teliti, pergi ke Sabah contohnya untuk menemubual ahli-ahli politik yang nak melompat lanjutan daripada kunjungan seseorang dalam jet peribadi yang dinyatakan oleh bekas KPN.
“Untuk memulihkan imej PDRM dan politik di negara ini, saya minta PDRM ambil serius laporan polis itu dan memulakan siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette