‘Tebuan Besi’ mengagihkan pek makanan kepada anggota bomba di Lebuh Pantai awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Ketika orang lain sedang lena menikmati tidur malam, sekumpulan lelaki daripada Kelab Moden Vespa mengambil inisiatif mengagihkan juadah sahur kepada petugas barisan hadapan serta gelandangan di sekitar Daerah Timur Laut, di sini, awal pagi tadi.

Selain pek makanan, kelab yang lebih dikenali dengan jolokan nama ‘Tebuan Besi’ itu turut memberikan duit raya kepada puluhan gelandangan.

Pek makanan diagihkan kepada petugas barisan hadapan.

Antara lokasi mereka menyantuni termasuk Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Balai Polis Sungai Nibong, gelandangan di sekitar Masjid Kapitan Keling.

Presiden kelab, Johan Alif berkata, sebanyak 400 pek makanan dan minuman diagihkan bermula jam 12 tengah malam hingga jam 5 pagi.

“Rezeki yang kami ada dikongsikan bersama sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan berkhidmat menjaga keamanan negara.

“Selain itu, kita juga meraikan golongan gelandangan agar mereka dapat menikmati juadah sahur seperti orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Salah seorang ahli kelab menyampaikan duit raya kepada gelandangan.

Tambah Johan, program sebegini juga dapat memupuk silaturahim dalam kalangan ahli kelab agar dapat berbakti semula pada masyarakat pada masa akan datang. – MalaysiaGazette