Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 6 Daerah di Selangor bermula 6 Mei sehingga 17 Mei ketika di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 MEI 2021.

SHAH ALAM – Sebanyak 11,000 peniaga Bazar Ramadan di enam daerah di Selangor yang tidak akan dibenarkan beroperasi mulai Sabtu ini disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal menerima bantuan RM500.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan bantuan khas berkenaan akan disalurkan selepas Aidilfitri dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Menyedari tentang masalah yang melanda penjaja bazar Ramadan, 11,000 penjaja bazar Ramadan terjejas, kerajaan  akan membantu mereka melalui bantuan RM500 menjelang selepas 1 Syawal demi membantu kesusahan akibat penutupan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media khas susulan PKP di enam daerah di negara itu yang diumum semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak bercadang mengumumkan Pakej Rangsangan.

Sebaliknya, kata beliau, keperluan berkenaan akan dipertimbangkan berdasarkan tempoh pelaksanaan PKP di enam daerah Selangor.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju enam daerah, Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang, dilaksanakan PKP.

Katanya, tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan, penularan dalam kalangan komuniti yang melibatkan perhimpunan orang ramai merupakan punca peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Tambah beliau, penularan juga berlaku akibat kunjungan orang ramai di kawasan yang tertumpu khususnya pasar raya dan pusat membeli belah.

“Perebakan komuniti yang melibatkan perhimpunan orang ramai punca kes Covid-19 tinggi ada juga di masjid libatkan jawatankuasa surau dan masjid, kenduri kahwin dan sebagainya

“Tapi kegiatan sosial itu jelas sedikit sebanyak menyumbang perebakan ini, lebih membimbangkan yang positif telah hadir di tempat tumpuan ramai di mall dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun Amirudin optimis PKP yang dikuatkuasakan di enam daerah dan mengetatkan SOP di beberapa kawasan akan membantu menurunkan kes positif dalam tempoh tiga minggu.-MalaysiaGazette