KUALA LUMPUR – UOB Malaysia menjemput para pelukis menjangkau imaginasi dan kebolehan mereka untuk menyertai pertandingan 2021 UOB Painting of the Year (Malaysia) yang baru dilancarkan.

Pada tahun ini, pertandingan seni tahunan yang merupakan salah satu pertandingan paling berprestij di Asia Tenggara menjemput para pelukis untuk menghasilkan karya seni yang mempamerkan kreativiti dan kepakaran mereka.

Pertandingan 2021 UOB Painting of the Year (Malaysia) adalah sebahagian daripada program seni UOB yang utama bertujuan untuk mencungkil dan memupuk bakat seni di seluruh rantau ini.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-40 pertandingan tahunan UOB Painting of the Year.

”Kami bukan sahaja membantu perniagaan menjana pertumbuhan secara bertanggungjawab, malah kami juga membantu mengenal pasti dan memupuk ramai pelukis mengambil langkah pertama dalam membangunkan kerjaya seni mereka dengan memberikan peluang kepada mereka mempamerkan hasil karya kepada masyarakat yang lebih luas.

”Dalam meraikan ulang tahun ke-40 pertandingan serantau ini, kami akan terus mendorong generasi pelukis baru muncul dan berpengalaman untuk menjangkau batasan imaginasi dan kreativiti melalui hasil seni mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Wong Kim Choong.

Bersempena ulang tahun ke-70 UOB Malaysia, bank ini telah memperkenalkan Anugerah Khas Ulang Tahun ke-70 UOB Malaysia sebagai sebahagian daripada pertandingan 2021 UOB Painting of the Year (Malaysia).

Penerima anugerah khas ini bakal membawa pulang RM20,000 dan dipilih untuk menghasilkan karya seni menandakan tahun yang penting ini bagi bank ini.

Permohonan akan dibuka mulai hari ini sehingga 31 Julai 2021 dan pemenang anugerah 2021 UOB Painting of the Year (Malaysia) akan diumumkan di majlis anugerah pada bulan September.

Pemenang anugerah 2021 UOB Painting of the Year (Malaysia) akan memenangi RM100,000, juga berpeluang untuk bertanding dalam anugerah berprestij 2021 UOB Painting of the Year Asia Tenggara di Singapura dan memenangi wang tunai AS$10,000.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh didapati di www.UOBandArt.com. – MalaysiaGazette