MELAKA – Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) kini sedang berusaha untuk mendapatkan pengecualian daripada kerajaan bagi membawa masuk 20,000 pekerja asing.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini penting berdasarkan sektor perladangan dan komoditi adalah kelompok terbesar yang bergantung kepada pekerja asing.
“Kita baru mendapat kelulusan dasar untuk mendapatkan pekerja warga asing bagi sektor kelapa sawit dan akan berunding untuk mendapatkan (pekerja asing) bagi sektor perkayuan pula,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Dialog Siri Jerayawara Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) 2021 di sini hari ini.
Bagi menampung kekurangan sementara pekerja asing dalam sektor tersebut, beliau berkata kementeriannya telah menyediakan pelbagai jenis dana sebagai insentif untuk menarik pekerja tempatan.
Katanya, ini termasuklah membuka ruang kepada syarikat dalam sektor itu untuk membuat promosi di laman sesawang di bawah Kementerian Sumber Manusia dan menyediakan siri latihan kepada mereka yang berminat dalam bidang tersebut.
“Sebagai subkontraktor ketiga terbesar selepas kelapa sawit dan getah, industri kayu-kayan turut berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk cabaran Revolusi 4.0 dan kini pandemik COVID-19.
“Oleh itu, MTC telah memperuntukkan RM2.8 juta daripada dana pembangunannya yang bernilai keseluruhan RM28.3 juta bagi membantu industri mentransformasikan operasi mereka ke arah penggunaan automasi dan pendigitalan,” katanya.
Katanya, sehingga kini sektor perkayuan telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 140,000 orang yang berkhidmat di 3,500 kilang berasaskan kayu di seluruh negara.
Beliau turut berharap dengan wujudnya program dan insentif pembangunan seperti Program Bantuan Eksport dengan dana RM1 juta dapat membantu lebih 30 pengusaha dan pengilang kayu di Melaka untuk meningkatkan lagi prestasi pengeluaran produk kayu bernilai tinggi. – MalaysiaGazette
Tiada keperluan bawa masuk lagi pekerja asing sebab di Malaysia ramai pekerja asing 3D tetapi jadi peniaga asing macam peniaga asing si Long Burma kerja mudah tempat redup untung lumayan bersaing dengan peniaga tempatan pulak.