SHAH ALAM – Seorang pakar produk syarikat telekomunikasi didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM45,760.05 bagi kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan alat komunikasi, lima tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Hafiz Azmi, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Hafiz didakwa menerima rasuah berjumlah RM17,850 daripada seorang pemilik syarikat pembekal alat komunikasi secara pindahan wang deposit cek tunai ke akaun syarikat milik tertuduh.
Wang tersebut didakwa sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan kerja pembekalan 6,000 telefon tanpa wayar daripada TIME dotCom Berhad bernilai RM318,420.
Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Berhad di Glenmarie di sini pada 20 September 2016.
Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Hafiz didakwa menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada seorang pemilik syarikat pembekal alat komunikasi secara pindahan wang deposit cek tunai ke akaun syarikat milik tertuduh.
Wang tersebut didakwa sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan kerja pembekalan 500 headset bernilai RM135,000 daripada TIME dotCom Berhad.
Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Berhad di Glenmarie di sini pada 20 September 2016.
Menurut pertuduhan ketiga pula, Mohamad Hafiz didakwa menerima rasuah berjumlah RM10,910.05 daripada pemilik syarikat pembekal alat komunikasi secara pindahan wang deposit cek tunai ke akaun syarikat milik tertuduh.
Wang tersebut didakwa sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan kerja pembekalan dan penyelenggaraan peralatan komunikasi Wevo w100 VOIP Nat Gateway bernilai RM415,839.95 daripada TIME dotCom Berhad.
Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Berhad di Glenmarie di sini pada 20 September 2016.
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat pula, Mohamad Hafiz didakwa menerima rasuah berjumlah RM12,000 daripada pemilik syarikat pembekal alat komunikasi secara pindahan wang deposit cek tunai ke akaun syarikat milik tertuduh.
Wang tersebut didakwa sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan kerja pembekalan dan penyelenggaraan peralatan komunikasi Wevo w100 VOIP Nat Gateway bernilai RM415,839.95 daripada TIME dotCom Berhad.
Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Berhad di Glenmarie di sini pada 2 Oktober 2018.
Kesemua empat pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab memohon jaminan RM25,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan paling minimum atas alasan menanggung seorang isteri, seorang anak dan seorang adik yang baru bekerja di Kuala Lumpur.
Tertuduh juga kini bekerja di sebuah syarikat pembekalan Internet dengan pendapatan RM6,500 sebulan perlu menanggung ibu bapanya mendapatkan rawatan akibat komplikasi tulang dan Covid-19.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan ke mahkamah, beserta syarat tambahan perlu melapor diri di SPRM berdekatan pada setiap awal bulan.
Mahkamah juga menetapkan 16 Jun 2021 sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette