Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyeru kerajaan menggunakan perubatan tradisi China (TCM) untuk mengubati pesakit Covid-19.

Katanya, mengikut laman web penyakit covid di laman web: worldometers.info/coronavirus/country/china, negara yang mempunyai penduduk 1.4 billionitu hanya mempunyai 300 kes yang aktif setakat 22 April 2021 dengan 299 kes adalah simptom ringan.

Menurut beliau, salah satu sebab China berjaya mengatasi penularan wabak Covid-19 adalah kerana negara itu menggunakan TCM untuk mengubati pesakit koronavirus.

Dakwanya, TCM juga menunjukkan keberkesanan yang amat tinggi untuk mengatasi wabak Covid.

Mengikut laporan agensi berita China, CGTN, kerajaan China telah meluluskan tiga jenis ubat TCM yang berpaten sebagai ubat yang boleh mengubati Covid-19, iaitu Jinhua Qinggan granules, Lianhua Qingwen capsules, dan suntikan Xuebijing.

Ketiga-tiga jenis ubat ini telah dijalani ujian klinikal dan didapati berkesan mengurangkan simptom demam dan keradangan pesakit Covid-19.

”Ubat-ubat ini juga telah luas digunakan untuk mengubati 70,000 pesakit Covid-19 di seluruh China.

”Walau bagaimanapun, saya difahamkan ketiga-tiga jenis ubat TCM tersebut masih belum diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

”Dengan itu, doktor di hospital tempatan pun tidak dapat menggunakan ubat-ubat TCM tersebut untuk mengubati pesakit Covid-19. Ubat-ubat TCM tersebut hanya digunakan oleh pesakit yang tahu keberkesanannya secara persendirian sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini.

Teresa mendakwa walaupun pakar TCM China telah melawat Malaysia dan menawarkan perkhidmatan/bantuan kepada Malaysia pada bulan April tahun 2020, tetapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak terima tawaran perkhidmatan mereka.

Selain itu, dakwanya Presiden Persekutuan Persatuan Tabib Perubatan Tradisional Cina dan Akupuntur Malaysia, Professor Dr Ng Po Kok juga pernah mengeluarkan kenyataan dan menulis surat kepada KKM untuk mencadangkan penggunaan TCM untuk mengubati pesakit Covid-19, tetapi cadangan persatuan ini juga tidak diterima.

”Memandangkan wabak Covid-19 telah menular dengan kadar yang membimbangkan di seluruh negara, saya ingin minta kerajaan mempelajari dan mencontohi kejayaan China mengubati Covid-19 dan mengawal penularan wabak ini.

”Saya bercadang Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan doktor TCM di Malaysia dengan di beberapa pusat kuarantin ataupun hospital sebagai permulaan. Sekiranya TCM didapati berkesan, maka kementerian boleh memperkenalkan TCM di hospital-hospital lain,” tambahnya. – MalaysiaGazette