Kim Lim.

KUALA LUMPUR – Universal Music Malaysia (UMM), sebuah anak syarikat Universal Music Group (UMG) yang menjadi peneraju dunia dalam hiburan berasaskan muzik mengumumkan Kim Lim telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Urusannya berkuatkuasa serta-merta.

Perlantikan tersebut adalah antara beberapa perekrutan strategik syarikat untuk memperluas dan memperkasa pasukan pengurusan kanan sebagai sebahagian daripada usaha syarikat untuk meningkatkan perkembangan artis domestik dan pertumbuhan label di rantau ini.

Sebagai anggota teras pasukan eksekutif serantau UMG, Kim akan memantau operasi UMG di seluruh Malaysia.

Berpangkalan di ibu pejabat UMM di Petaling Jaya, Selangor, beliau akan melapor kepada Calvin Wong, Ketua Pegawai Eksekutif, Universal Music Southeast Asia & Timbalan Presiden Kanan, Asia.

Kim menyertai UMM pada tahun 2014 dari agensi periklanan RedRedRed Malaysia dan beliau telah memegang pelbagai jawatan penting dalam syarikat tersebut.

Terbaharu. beliau telah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Perniagaan Baru dan Pengurusan Artis & Ketua Pemasaran dan Jualan untuk Malaysia.

Melalui jawatan tersebut, Kim telah memimpin UMM merentasi perkongsian, pengurusan bakat, acara siaran langsung dan inisiatif perniagaan baru yang inovatif yang telah meletakkan UMM sebagai syarikat hiburan muzik domestik terkemuka di Malaysia.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, UMM telah mengetuai dalam kempen iklan jenama terkenal di rantau ini melibatkan artis UMM dan syarikat utama (domestik dan global), antaranya: “The Singing Pizza” dengan Pizza Hut; Hyundai; Tune Talk; Petron; dan Samsung.

Pada tahun 2019, Kim telah menerajui pelancaran Celebrity 360, sebuah syarikat pengurusan artis terkemuka di industri yang menguruskan kerjaya beberapa bakat paling popular dan berpengaruh di Malaysia dalam dunia muzik, filem / TV, hiburan dan gaya hidup termasuk Anis Nabilah , Alvin Chong, Fattah Amin, Fazura, Diana Danielle, Syazuwan dan Jaja Iliyes.

Celebrity 360 adalah agensi pertama seumpamanya di rantau ini dan mengendali semua elemen untuk pelanggannya, termasuk perkongsian jenama, acara langsung dan produksi TV & filem.

Sebelum menyertai UMG, Kim sebelum ini memegang jawatan di Asia-Pacific Videolabs, Warner Music Malaysia dan Golden Dynamics Enterprise Ltd. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast