Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali mengaku dirinya antara 22 individu yang menerima wang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika itu.

Dalam satu kenyataan, Ibrahim berkata, beliau bagaimanapun tidak sedar sama ada pemberian itu ada kaitan dengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau SRC International.

“Saya mengaku telah menerima sekeping cek personal DS Najib yang tertera nama beliau pada cek tersebut, yang tidak saya sedar sama sekali ianya berkait dengan wang SRC mahu pun 1MDB sebab tiada nama SRC mahupun 1MDB di cek tersebut.

“Saya tidak ingat bila terimanya tetapi yang pasti sebelum isu 1MDB terbongkar selepas PRU13. Jika sudah terbongkar, pastinya saya tidak akan mahu menerimanya dan DS Najib sendiri tidak akan menggunakan lagi akaun tersebut lagi,” katanya, hari ini.

Jelas Ibrahim lagi, sebagai Ahli Parlimen bebas dari 2008 hingga 2013, beliau tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk mengadakan sebarang program demi rakyat di kawasannya.

Justeru itu, beliau terpaksa mencari dana daripada mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada beliau.

“Selesai PRU13, saya berjumpa Datuk Seri Najib untuk minta bantu selesaikan masalah kewangan yang telah banyak dibelanjakan sepanjang lima tahun tersebut termasuk ketika bertanding PRU13.

“Apalagi saya adalah calon ‘friendly BN’ yang mana calon BN(UMNO) menarik diri secara tidak langsung mengizinkan saya bertanding satu lawan satu dengan calun PAS. Beliau setuju membantu pada fikiran saya kerana saya MP Bebas ‘friendly BN’ sebelum itu. Saya tidak ambil tahu dana mana dia ambil bantu saya. Mungkin dari tabung UMNO atau BN. Atau wang personalnya,” jelas Ibrahim lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak ada sebab untuk dirinya menolak bantuan kewangan itu, malah tidak mempersoalkan punca wang itu datang kerana mempercayai Najib.

“Semua sumbangan itu saya telah belanjakan yang tidak perlu saya huraikan sekarang, tetapi yang pasti ianya dihabiskan untuk membiayai perbelanjaan program-program rakyat di Pasir Mas dan tidak digunakan untuk perbelanjaan peribadi saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, dirinya bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang daripada 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd.

“Biarkanlah mahkamah tentukan saya wajar memulangkan semula atau tidak kerana saya telah membelanjakan semuanya ketika saya tidak mengetahui sama sekali duit itu dari sumber salah,” jelas Ibrahim.

Minggu lalu, 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd memfailkan saman sivil terhadap beberapa personaliti yang dididakwa menipu firma milik negara itu.

Antara individu yang dinamakan termasuklah Najib Razak, bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman dan Arul Kanda Kandasamy.

Turut disenaraikan beberapa anggota keluarga Jho Low, termasuk ayahnya Larry Low Hock Peng dan kakaknya Low May Lin. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.