Mohd Amirul (kanan) membantu rakannya Mohd Sufri (kiri) mengemaskan keperluan untuk di bawa pulang menyambut Aidilfiri di Kemaman, Terengganu. Mereka menaiki bas yang disediakan USIM dari Dewan Tuanku Canselor.

NILAI – Bimbang berlaku sesuatu kepada rakan baiknya yang mengalami masalah penglihatan di kampus, Mohd Amirol Ridzuan Aripin, 23, penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) nekad membawa pulang rakannya, Mohd Sufri Syahrifuddin, 23, ke kampung halamannya di Kemaman, Terengganu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Amirul dan Sufri merupakan rakan sekuliah di USIM merupakan penuntut tahun tiga Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Mereka antara pelajar USIM yang pulang ke kampung melalui Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini.

Mereka antara kumpulan pertama 181 penuntut USIM yang dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing di Kelantan dan Terengganu menggunakan bas universiti pada semalam (Sabtu).

Menurut Amirul, hatinya berasa tidak tenang memikirkan keadaan Sufri yang berasal dari Kunak, Sabah menguruskan diri di asrama kerana masalah penglihatan terhad yang dihadapinya memerlukan seseorang untuk sentiasa bersamanya.

“Sufri pernah beberapa kali terjatuh apabila berjalan berseorangan semasa di kampus sehingga pernah mengalami kecederaan yang serius. Sejak dari awal minggu orientasi di tahun pertama dahulu saya ambil tanggungjawab sehingga kini membantu beliau kerana prihatin pada dirinya. Kebetulah kami sekuliah dan rakan sebilik di asrama, jadi lebih mudah.

“Dia rapat dan selesa dengan saya, jadi pastinya saya merasa sedih jika dia menyambut Aidilfitri seorang diri di asrama. Soal keselamatan dan makan minum dia juga saya bimbang kerana selama ini saya yang menguruskannya. Ibu-bapa pun sudah menganggapnya sebagai anak sendiri, adik-beradik juga rapat dengan dia, jadi emak minta bawa dia pulang berhari raya bersama kami,” katanya.

Tambahnya lagi, setiap ujian Allah SWT berikan seperti Covid-19 ini ada hikmahnya. Ramadan dan Syawal ini adalah merupakan masa terbaik untuk umat Islam dekatkan diri kepada-Nya dan salah satu darinya dengan berbuat kebaikan dan membantu mereka yang memerlukan.

Bagi Sufri, beliau melahirkan rasa terima kasih kepada Amirul dan keluarganya kerana mengambil berat keadaan dirinya.

“Meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama mereka seperti meraikan bersama keluarga saya. Ibu-bapa di Sabah bersyukur kerana saya tidak berseorangan dan titipkan pesanan untuk saya jaga kesihatan dan jaga diri”.

Sementara itu, kumpulan kedua pelajar USIM seramai 74 orang selamat bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing di Melaka, Johor dan Perak pada Ahad pagi menaiki empat buah bas dan sebuah van universiti yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus terlibat dalam program pergerakan pulang berhari raya dengan 538 orang daripadanya memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan universiti bermula 8 sehingga 11 Mei ini. – MalaysiaGazette