KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang mendakwa dirogol oleh dua kenalan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield hari ini.
Berpakaian krim, wanita ini hadir bersama peguamnya di IPD Brickfield kira-kira jam 10.22 pagi tadi.
Wanita terbabit dikatakan membuat laporan polis pada Disember tahun lalu dan perkara itu didedahkan oleh bekas pemimpin UMNO, Lokman Noor Adam.
Menurut laporan polis itu, mangsa mendakwa Hilman menjemputnya ke sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk meraikan ulang tahun kelahirannya pada hari Jumaat, 4 Disember, bersama dengan kenalan rapatnya dan dua rakan wanita lain.
Selepas makan malam, wanita itu mendakwa mereka semua pergi berkaraoke, di mana dia mengambil minuman alkohol dan mabuk.
Seorang rakan mangsa mengatakan ketua bahagian parti PN itu menyertai mereka ketika mereka masih di bilik karaoke.
Mangsa mendakwa dia mempunyai ingatan samar tentang apa yang berlaku setelah aktiviti karaoke, tetapi memaklumkan bahawa dia merasa Hilman menolongnya untuk berjalan.
Ingatan terakhirnya sebelum tak sedarkan diri adalah wajah kenalan Hilman di atasnya.
Menurut laporan polis itu, dia mendakwa telah bangun pada pukul 4 pagi pada 5 Disember di bilik hotel seorang diri.
Dia juga mendapati dirinya tidak memakai pakaian dan berasa dia telah dirogol dan kemudian menemui kondom di bilik mandi.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Sebelum ini, satu rakaman video tular di laman sosial yang mendakwa Hilman menolong seorang wanita dalam keadaan mabuk berjalan, dipercayai pada malam kejadian.
Pada 3 Mei lalu, Hilman selaku Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan surat yang didakwa ditulisnya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai video itu palsu. – MalaysiaGazette