Peniaga, Munir Muhamad menunjukkan ketupat palas yang dijual kepada pembeli sempena menjelang Aidiladha pada esok hari ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 OGOS 2018

PETALING JAYA – Ketupat merupakan hidangan yang tidak asing setiap kali menjelangnya Aidilfitri.

Hidangan tradisi itu amat sinonim apabila dimakan bersama-sama rendang di pagi raya.

Terdapat dua jenis ketupat yang diketahui umum iaitu ketupat nasi dan ketupat palas.

Asal-usul ketupat palas dari utara Semenanjung. Namanya diambil daripada daun yang digunakan untuk membungkusnya.

Berbeza dengan ketupat daun atau ketupat nasi, daripada segi bentuk, saiz, penggunaan daun untuk membalut dan beras.

Proses menyiapkan ketupat palas ini adalah antara yang remeh kerana cara anyamannya tidak seperti ketupat biasa.

Itulah keunikan ketupat palas, selain bentuknya yang kemas, tidak semua orang mempunyai bakat menganyamnya.

Bagi Nursyamimi Omar, 34, berniaga ketupat palas selama lebih 10 tahun membuatkannya bimbang apabila semakin ramai generasi muda dilihatnya tidak mahir menganyam dan menyediakan ketupat palas.

Pengerusi KRT Blok E PPR Lembah Subang 1, Muhamad Azmi Yaacob (kiri) beramah mesra bersama penduduk PPR Lembah Subang 1, Nursyamimi Omar, 34 sambil membantu menganyam ketupat palas untuk persediaan menjelang Aidilfitri ketika di PPR Lembah Subang 1, Petaling jaya, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 08 MEI 2021.

Ia terbukti apabila semakin ramai yang memilih untuk menempah sahaja ketupat palas setiap kali menjelang Aidilfitri.

Justeru beliau berharap agar generasi muda tidak berat tulang untuk belajar cara-cara menganyam ketupat palas ini.

“Ramai sekarang orang tidak tahu anyam ketupat palas ini, generasi muda perlu tahu macam mana anyak ketupat palas. Kalau tidak pada masa akan datang, harga ketupat palas yang dijual boleh menjejah lebih RM30 sekilo membuatkan ia semakin mahal,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau turut berharap tradisi ini tidak luput dek zaman meskipun 10 atau 20 tahun akan datang.

Terdahulu Nursyamimi memaklumkan perniagaan menjual ketupat palas yang dijalankannya kini adalah warisan daripada nenek moyang beliau.

Menganggap kemahiran menganyam ketupat palas sebagai suatu perkara yang tidak wajar dilupakan, beliau berharap anak-anaknya kelak akan mewarisi bakatnya hari ini.

“Tunggulah anak saya besar nanti, saya mahu pastikan mereka pandai menganyam ketupat palas, saya mahu tidak ada seorang pun anak saya yang tidak tahu menganyam ketupat palas,” ujarnya.

Ujarnya tradisi ini perlu diteruskan meskipun dunia semakin berubah ditelan arus kemodenan.- MalaysiaGazette