KUALA LUMPUR – Prihatin dengan situasi yang sedang melanda rakyat Palestin berikutan diserang secara rakus oleh zionis Israel, Gabungan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dikenali sebagai MyAqsaDefenders tampil membantu.

Gabungan ini menyasarkan dana sebanyak RM10 juta yang akan digunakan untuk menyalurkan pelbagai jenis bantuan termasuklah bantuan kecemasan, bantuan jangka masa sederhana dan panjang.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2 juta sudah berjaya dikumpul dan baki sasaran sedang giat dijalankan.

Dalam satu kenyataan pagi ini, kata MyAqsaDefenders sebanyak RM1 juta telah disalur untuk membaik pulih Klinik Al-Aqsa yang terjejas teruk, selain memastikan stok ubatan dan juga keperluan rawatan kecemasan sentiasa tersedia.

Jelas kenyataan itu, sebahagian daripada dana telah dimanfaatkan untuk bantuan kewangan segera kepada murabitin Al-Quds, bayaran kos guaman mereka yang telah ditangkap sama susulan insiden di Al-Aqsa atau Perkampungan Syeikh Al-Jarrah serta kafalah sara hidup penduduk Kota Lama Al-Quds.

“Sebanyak RM1 juta lagi telah diperuntukkan bagi bantuan baik pulih infrastruktur dan juga rumah penduduk di Kota Lama al-Quds dalam usaha untuk memastikan mereka dapat terus bertahan dan mengekalkan demografi rakyat Palestin di kawasan tersebut.

“Kita juga lancarkan serangan siber dan meminta rakyat Malaysia menularkan hantaran di laman media sosial dengan #ShameOnIsrael dan #KoyakIsrael bertujuan mengutuk tindakan kekejaman mereka.

“Kempen ini berjaya tular serta memberi impak kepada Israel di Facebook, Instagram dan juga Twitter sehingga carian maksud perkataan ‘koyak’ turut meningkat di laman sesawang,” katanya sebentar tadi.

MyAqsaDefenders turut menyeru seluruh rakyat Malaysia dengan pelbagai latar agama dan kaum untuk bersuara serta menyokong perjuangan Palestin dalam mempertahankan negara mereka yang dirompak sejak tujuh dekad lalu.

Kata Gabungan itu masyarakat Malaysia untuk melihat isu Palestin ini diangkat bukan semata terkait hal keagamaan, namun ia terkait dengan persoalan ketidakadilan, pencabulan hak asasi manusia dan juga krisis kemanusiaan sejagat.

“Kami mengalu-alukan penglibatan dan sokongan mana-mana institusi, NGO, tokoh-tokoh berpengaruh dan para artis untuk bersama menanam tekad untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan Kota Al-Quds,” ujarnya.

MyAqsaDefenders dimulakan daripada gabungan aktivis kemanusiaan yang telah lama berkecimpung dalam usaha membantu Palestin rata-ratanya golongan muda.

Selain itu juga terlibat ialah tokoh-tokoh korporat, para artis serta ‘influencer’ yang bersetuju untuk sama-sama mendokong dan mempertahankan Kota Suci umat Islam daripada terus dinodai. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Menara RM10 juta diruntuhkan oleh bom Israel kurang seminit jer. Nak ambil balik tanah tergadai free di Singapore dengan RM10 juta cuma dapat sekangkang kera jer.

Comments are closed.