Rajinikanth disuntik vaksin Covid-19 oleh jururawat.

CHENNAI – Pelakon terkenal Rajinikanth telah selesai menerima dos kedua suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di sini hari ini.

Berita ini sememangnya mengejutkan segelintir peminat-peminatnya kerana sebelum ini tidak apa-apa berita Rajinikanth menerima dos vaksin pertama beliau.

Agensi melaporkan, Rajinikanth atau lebih popular dengan panggilan jolokan Superstar,  berusia 70 tahun, telah menerima suntikan pertama jenis Covidsheild tanpa sebarang publisiti baru-baru ini.

Selepas menerima suntikan vaksin pertama, beliau dilaporkan berlepas ke Hyderabad untuk meneruskan penggambaran filem Tamil baharu, Annaatthe.

Anak perempuan pelakon lagenda itu, Soundarya hari ini memuat naik gambar Rajinikanth sedang menerima suntikan vaksin keduanya di laman Twitter beliau.

“Thalaivar sudah menerima suntikan kedua vaksin. Marilah kita bersama-sama kekal komited melawan pandemik Covid-19 ini,” kata Soundarya dalam satu ciapan tersebut.

Pada Disember tahun lalu, penggambaran Annaatthe terpaksa diberhentikan sementara selepas beberapa kru produksi filem itu dikesan positif jangkitan Covid-19.

Rajinikanth juga telah melakukan ujian saringan Covid-19 sejurus selepas insiden itu dan hasil keputusannya menunjukkan negatif.

Berita ini sememangnya disambut baik oleh para peminatnya apatah lagi di kala India sedang berdepan dengan kes harian yang tinggi hingga lebih 400,000 manakala jumlah kes setakat ini lebih 24 juta kes.

Negara ini juga baru sahaja kehilangan pelakon komedi juga personaliti televisyen dan aktivis sosial, Vivek yang meninggal dunia tidak sampai 24 jam selepas disuntik vaksin kerana diserang sakit jantung. -MalaysiaGazette