Petugas sukarelawan menyusun makanan dalam bekas yang siap dibungkus.

KUALA LUMPUR – Sempena 1 Syawal semalam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengambil inisiatif meraikan sambutan hari lebaran buat umat Islam itu dengan menyediakan makanan kepada mahasiswa-mahasiswa pada pagi raya.

Seramai 1398 orang mahasiswa termasuk pelajar-pelajar tahun akhir, pelajar-pelajar antarabangsa serta pelajar-pelajar pasca siswazah yang tidak dapat pulang beraya ke kampung halaman diraikan dengan menerima juadah lazat seperti sate, nasi hujan panas serta kuih muih yang dibungkus dan diagihkan di kawasan kampus.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang mengetuai misi pengagihan juadah raya berkata, usaha dilaksanakan UPSI merupakan salah satu inisiatif universiti cakna terhadap kebajikan warganya yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman.

”Kita akur dengan keputusan pihak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan bermula 12 Mei hingga 7 Jun. Walaupun universiti telah menguruskan sebahagian pelajar pulang kediaman masing-masing sejak 7 Mei yang lalu, bagaimanapun terdapat sejumlah pelajar yang masih berada di kampus tetap diraikan agar mereka dapat merasai nikmat hari raya sungguhpun jauh dari keluarga,” jelasnya.

Seramai 36 orang sukarelawan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) serta empat orang pegawai pengurusan turut serta membantu mengagihkan makanan melalui penyerahan kepada Pengetua-pengetua dan Felo-felo kolej kediaman termasuklah Unit Kediaman Luar Kampus.

Menurut Yang Dipertua MPP UPSI, Nur Shafiq Iqwan Shafiruddin berkata, misi pengagihan makanan juadah hari raya ini merupakan pengalaman unik dan amat berharga buat seluruh sukarelawan yang mungkin sukar dilupakan sepanjang hayat mereka. – MalaysiaGazette