KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mengutuk sekeras-kerasnya serangan dan kekejaman tentera zionis Israel terhadap penduduk awam Palestin sejak Jumaat lepas.
Pengarah Strategik dan Komunikasi AMK Gombak, Zafrullah Aris menegaskan, tindakan itu sudah melampaui batas dan menyifatkan penindasan rejim Israel sebagai tiada sifat kemanusiaan.
“Serangan yang dilancarkan ke atas penduduk Palestin beberapa hari lalu menyaksikan kekejaman yang tidak kunjung padam oleh tentera Zionis sejak zaman-berzaman.
“Seperti kita semua tahu krisis ini bukanlah krisis keagamaan tetapi krisis kemanusiaan yang terus menerus dilakukan tanpa henti.
“Bersempena sambutan Hari Belia Negara pada hari ini, ayuh seluruh belia tanpa mengira latar belakang, tunjukkan kesungguhan solidariti kita bersama belia dan penduduk Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jumaat lepas, sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin cedera selepas polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menembak jemaah menggunakan peluru getah dalam kejadian di wilayah timur Baitulmaqdis.
Sementara itu, AMK Gombak juga merakamkan penghargaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tindakan segera beliau mengecam tindakan Zionis yang menyerang penduduk awam di bumi Palestin.
“Datuk Seri Presiden juga telah mengutarakan inisiatif bantuan kebajikan dalam tempoh 24 jam mengumpulkan RM500,000 untuk disampaikan kepada penduduk Palestin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette