Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan tindakan Pas yang menggunakan akaun bank parti itu untuk mengutip dana dan sumbangan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.

Lantaran itu Syed Saddiq menggesa orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kewangan itu boleh berbuat demikian melalui pertubuhan-pertubuhan yang diiktiraf sedia ada.

“Kenapa nak salur bantuan dan sumbangan melalui akaun parti politik? Saya seru orang ramai untuk sumbang terus ke pertubuhan yang diiktiraf.

“Perlu ada ketelusan dalam mengisytiharkan dana yang dikutip dan disalurkan ke Palestin. Parti politik tak perlu jadi orang tengah,” katanya dalam ciapan terbaru di Twitter miliknya, hari ini.

Semalam, Pas Kedah melancarkan kutipan derma jihad untuk membantu kesengsaraan umat Islam di Palestin yang kini berdepan dengan serangan dan kekejaman oleh rejim Israel.

Menurut Pesuruhjayanya, Senator Ahmad Yahaya, kempen Derma Jihad Palestin itu melibatkan semua Pas kawasan di Kedah dan dewan-dewan peringkat negeri.

Selain Pas Kedah, Pas Selangor turut melancarkan kutipan sumbangan untuk Palestin hari ini yang turut menggunakan akaun bank parti negeri itu.

Idris Ahmad
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad

Sementara itu, tindakan Syed Saddiq itu dibidas Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad hari ini yang mempersoalkan tindakan ahli Parlimen Muar itu cuba mempolitikkan isu kutipan derma berkenaan.

“Kita bantu Palestin pun hendak berpolitik juga. Apa jenis manusia. Zionis dia bukan kira awak parti apa. Faham tak,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast