Universiti Sains Islam Malaysia.

KUALA LUMPUR –  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  menangguhkan semua pergerakan pelajar kembali ke kampus selepas cuti Hari Raya Aidilfitri bermula hari ini sehingga 28 Mei ini gara-gara peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Seremban, Negeri Sembilan dan di seluruh negara,

USIM dalam satu kenyataan berkata, penangguhan itu merangkumi semua pergerakan pelajar ke kolej-kolej kediaman dan rumah rumah sewa pelajar .

Keputusan itu juga merangkumi pelajar yang pulang ke kampus menggunakan bas yang diuruskan oleh pihak universiti, dihantar oleh ibu bapa atau waris dan menaiki kenderaan sendiri.

Bagaimanapun,  pelajar yang pulang menaiki kapal terbang diberi kelonggaran untuk meneruskan perjalanan pulang ke kampus.

“Bagi pelajar yang dikategorikan sebagai pelajar berkeperluan khas yang perlu
mengikuti sesi pengkuliahan secara fizikal, kumpulan ini akan dibenarkan kembali
semula ke kampus bermula pada 29 Mei ini mengikut ketetapan jadual yang akan
dimaklumkan oleh pihak USIM.

“Pihak USIM sentiasa mementingkan keselamatan para pelajar di samping berusaha
memastikan pelajar dapat meneruskan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran
(PdP) dengan baik.

“Pelajar hendaklah terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan sentiasa peka dengan pengumuman dari pihak USIM dari semasa ke semasa,” katanya kenyataan itu di sini hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini mengambil inisiatif melaksanakan
Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pulang Sempena Cuti
Perayaan Aidilfitri 2021 bermula pada 7 Mei hingga 12 Mei lalu.

Seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus terlibat dalam program pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing dengan 538 orang daripadanya dihantar pulang menggunakan kenderaan universiti.

Mengikut perancangan awal, pelajar USIM dibenarkan pulang ke kampus secara berperingkat mulai 17 Mei sehingga 23 Mei ini hadapan. – MalaysiaGazette