Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sekolah menengah dan seorang lagi lelaki penjual mercun akan dihadapkan di mahkamah esok dalam insiden membakar dan membaling mercun kepada anggota polis pada malam raya di Pangsapuri Sri Perak.

Kehadian polis semasa kejadian bagi menghuraikan aktiviti pembakaran mercun oleh kira-kira 200 penduduk di pangsapuri tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kedua-dua suspek berusia 16 dan 58 tahun juga penduduk di pangsapuri yang sama.

“Kita telah melengkapkan kertas siasatan kes tersebut dan merujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut. Kini kami sudah mendapat arahan untuk menuduh kedua-dua suspek itu di mahkamah.

“Esok (Jumaat) jam 9 pagi penjual mercun dan juga pelajar sekolah itu akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur untuk proses pendakwaan,” katanya menerusi pesanan ringkas hari ini.

Tambah Eng Lai, penjual mercun itu akan dituduh di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan manakala pelajar berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Pada 14 Mei lalu, MalaysiaGazette melaporkan polis telah menahan empat lelaki tempatan yang terlibat dalam pembakaran mercun secara terbuka dan melontarkan ke arah polis yang bertugas membuat rondaan dan pemantauan di Sentul pada malam sambutan Hari Raya Aidilfitri pertama.

Tiga tangkapan pertama jam 9 malam dibuat membabitkan penduduk berusia 44 tahun, 12 tahun dan 13 tahun serta rampaan 48 butir mercun bola daripada sebuah beg silang yang dipakai oleh remaja berusia 13 tahun.

Manakala suspek keempat iaitu penjual mercun itu ditangkap dua jam kemudian sekitar 11 malam di premis di Blok 39 pangsapuri sama kerana menjual mercun tanpa lesen sah sebelum kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis sementara melengkapkan kertas siasatan.

Pada 15 Mei lalu, Eng Lai mengesahkan tangkapan empat remaja bersekolah yang terlibat langsung dalam perbuatan membakar dan membaling mercun ke atas polis dalam kes tersebut.

Katanya mereka ditangkap di pangsapuri Sri Perak di Sentul antara 10 malam hingga 3 pagi dan berusia 14 hingga 16 tahun.

Mereka adalah rakan satu sekolah menengah yang masih belajar dan mengaku bertanggungjawab membaling mercun berbentuk bola ke arah polis kerana kecewa polis mengganggu keseronokan dan aktiviti membakar mercun di pangsapuri itu semasa kejadian.

Mereka telah direman tiga hari sehingga Rabu Isnin lalu untuk polis melengkapkan kertas siasatan.-MalaysiaGazette