Anggota polis melakukan pemeriksaan sebuah rumah yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana melakukan ziarah Aidilfitri ketika mengadakan pemantauan SOP susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Kampung Kenanga, Rawang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2021.

MEMANDANGKAN negara kita mencatat jumlah jangkitan kes virus Covid-19 yang tinggi sejak kebelakangan ini, adalah wajar menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat yang pernah dilaksanakan pada  bulan Mac sehingga awal bulan Mei tahun 2020.

Peningkatan jumlah kes jangkitan virus Covid-19 yang berlaku tidak boleh dipandang ringan. Ini ditambah lagi dengan kebimbangan kemunculan mutasi-mutasi baru terhadap virus berkenaan yang lebih mudah berjangkit dan berbahaya kepada tahap kesihatan
orang ramai.

Walaupun negara kita sedang giat melakukan proses vaksinasi kepada seluruh rakyat Malaysia, namun usaha ini masih berada di peringkat awal, masih ramai rakyat
Malaysia yang belum memperolehi vaksin terbabit. Kita juga harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di India pada ketika ini yang mana terdapat tsunami jangkitan virus Covid-19 serta kemunculan pelbagai jenis mutasi menyebabkan kes harian
melibatkan ratusan ribu orang dan ribuan kes kematian berlaku setiap hari di
India sehingga hari ini.

Virus Covid-19 adalah virus yang bahaya yang boleh menjejaskan tahap kesihatan mereka yang dijangkiti olehnya khususnya kepada warga tua, individu yang memiliki tahap imuniti dalam badan yang lemah dan mereka yang ada sejarah penyakit kronik.

Sehingga kini lebih tiga juta orang yang maut akibat daripada dijangkiti dengan virus Covid-19 di dunia. Setiap rakyat Malaysia harus menerima hakikat dengan hati dan minda yang terbuka bahawa usaha kita untuk membendung dan menghapuskan virus Covid-19
masih belum berjaya dilakukan dengan sepenuhnya lagi dalam negara kita.

Oleh yang demikian, sama ada mereka suka ataupun tidak, mereka harus menerima pakai norma baru kehidupan bagi mengelakkan diri mereka dan orang yang mereka kasihi dijangkiti dengan virus Covid-19 terbabit ataupun mutasi yang muncul daripada virus berkenaan.

Pihak kerajaan juga harus menerima hakikat bahawa keadaan semasa yang berlaku pada ketika ini dalam negara kita adalah mencemaskan dan satu langkah drastik perlu dilakukan bagi melindungi setiap rakyat Malaysia.

Salah satu cara terbaik adalah dengan mengadakan semula PKP yang ketat dengan penutupan buat sementara waktu  semua sektor pekerjaan kecuali sektor pekerjaan yang
terlibat dengan perkhidmatan penting kepada negara dan penutupan semua institusi pendidikan yang ada serta memerintahkan setiap orang untuk berada di dalam rumah.

Sebarang aktiviti berkumpulan juga harus ditegah. Perkara ini pernah dilaksanakan pada bulan Mac sehingga awal bulan Mei tahun 2020 yang lalu dan ianya dilihat berjaya menurunkan kadar jangkitan virus Covid-19 dalam kalangan orang ramai dalam negara kita.

Kita tidak boleh mengharapkan orang ramai untuk mematuhi saranan prosedur operasi standard (SOP) bagi melindungi diri mereka sepanjang masa daripada jangkitan dengan virus Covid-19. Daripada kita bergantung harap sepenuhnya pada proses “saranan”, adalah lebih baik jika kita dapat menguatkuasa satu bentuk “perintah” yang tegas dan jelas bagi memastikan setiap orang dapat mengawal diri mereka daripada terdedah dengan risiko jangkitan virus Covid-19.

Dengan adanya sebuah perintah yang tegas dan jelas, semua pihak akan memandang isu penularan virus Covid-19 ini dengan lebih serius serta akan patuh terhadap segala
perintah yang diberikan kepada mereka. Dengan adanya perintah ini juga, pihak berkuasa akan lebih mudah lakukan proses penguatkuasaan undang-undang di semua tempat dalam negara kita.

Cadangan penutupan sektor pekerjaan kecuali sektor pekerjaan yang terlibat dengan perkhidmatan penting kepada negara dan semua institusi pendidikan berserta larangan untuk sebarang jenis aktiviti berkumpulan ini adalah untuk sementara waktu sahaja sehingga kadar kebolehjangkitan virus Covid-19 dapat diturunkan dan dikawal.

Cadangan penutupan ini tidak bermakna sektor pekerjaan dan pendidikan kita terhenti terus. Sektor-sektor pekerjaan yang bersesuaian boleh terus melakukan kerja mereka
secara dalam talian ataupun bekerja dari rumah (Work From Home). Bagi sektor pendidikan pula, pengunaan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian harus dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Mungkin terdapat kekurangan dan kelemahan terhadap cadangan yang dikemukakan ini, namun kita semua harus menerima hakikat bahawa keadaan semasa pada ketika ini adalah amat membimbangkan dan satu langkah drastik perlu diambil bagi
melindungi diri masing-masing daripada jangkitan virus Covid-19 serta mutasi – mutasi yang muncul daripadanya.

Pada masa yang sama pihak kerajaan juga harus siap sedia untuk menghulurkan sebarang jenis bantuan kepada golongan yang terjejas akibat daripada cadangan
perlaksanaan PKP yang ketat ini. Sebarang jenis bantuan harus disalurkan dengan segera kepada golongan yang terjejas ini.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)