India kini menjadi negara kedua tertinggi Covid-19, selepas Amerika Syarikat. foto Reuters

NEW DELHI – Kementerian Teknologi Maklumat India telah menulis surat kepada semua syarikat media sosial untuk meminta firma terbabit menggugurkan kandungan merujuk kepada ‘varian India’ koronavirus, menurut surat yang dikeluarkan semalam yang dilihat Reuters.

Pada 11 Mei lalu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata, varian B1617 koronavirus dikenalpasti buat pertama kali di India pada tahun lalu dan diklasifikasikan sebagai satu varian.

Sehari selepas itu kerajaan India yang mengeluarkan kenyataan menyatakan laporan media menggunakan istilah ‘varian India’ tanpa sebarang asas berkata, WHO telah mengklasifikasikan varian tersebut hanya sebagai B1617.

Dalam surat kepada syarikat sosial media semalam, Kementerian IT meminta syarikat-syarikat IT ‘menggugurkan semua kandungan’ terhadap nama atau bayangan ‘varian India’ koronavirus.

“Ini semua palsu. Secara saintifik tidak terdapat varian Covid-19 seperti dinyatakan WHO. WHO tidak mengaitkan dengan istilah ‘varian India’ dengan B1617 koronavirus dalam sebarang laporannya,” menurut surat itu.

Seorang sumber kanan kerajaan India memberitahu Reuters, notis teah dikeluarkan  untuk menghantar mesej ‘yang lantang dan jelas’ bahawa ia adalah kegagalan komunikasi dan merosakkan imej negara itu.

Kementerian IT tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

Di seluruh dunia, varian koronavirus dirujuk oleh doktor dan pakar kesihatan berdasarkan di mana ia dikenalpasti.

Ia meliputi varian Afrika Selatan dan Brazil.

Seorang eksekutif syarikat media sosial berkata, adalah sukar untuk mengggugurkan semua kandungan yang menggunakan perkataan itu kerana terdapat beratus ribu hantaran, selain ‘tindakan seumpama itu akan menjurus kepada penapisan berasaskan kata utama’.

Kerajaan India meghadapi peningkatan kritikan terhadap pengendalian pandamik koronavirus dengan Perdana Menteri, Narendra Modi dan pihak berkuasa negeri dipersalahkan berikutan kekurangan perancangan bagi menghadapi gelombang kedua jangkitan koroavirus.

India merupakan negara kedua kes jangkitan Covid-19 tertinggi dunia dan dilaporkan ia merekodkan 250,000 jangkitan dan 4,000 kematian setiap hari. – MalaysiaGazette