Raul Jimenez.

LONDON – Wolves mengesahkan penyerangnya, Raul Jimenez telah bersedia untuk menjalani latihan penuh selepas enam bulan direhatkan akibat keretakan tempurung kepalanya.

Pemain Mexico itu akan kembali beraksi untuk permulaan musim 2021/22 sebaik sahaja disahkan cergas sepenuhnya.

Namun doktor kelab, Matt Parry memberitahu, penyerang berusia 30 tahun itu perlu memakai pelindung kepala sepanjang kariernya sebagai langkah berjaga-jaga kerana kecederaan yang dialaminya itu kebiasaannya mempunyai kesan jangka masa panjang.

Jimenez mengalami kecederaan serius tersebut ketika aksi menentang Arsenal pada November tahun lalu selepas beliau terhantuk dengan David Luiz.

Selepas insiden itu, dia menerima rawatan hampir 10 minit di atas padang sebelum diusung keluar dan terus dibawa ke hospital apabila didapati mengalami kecederaan otak traumatik utama (TBI) dan keretakan tempurung kepala.

Sebelum ini bekas penjaga gol Chelsea, Petr Cech juga pernah mengalami kecederaan yang hampir sama dan dia juga didapati menggunakan penutup kepala yang sering digunakan oleh pemain ragbi sehingga penamat kariernya.

Jimenez pula yang sudah kembali menjalani sesi latihan ringan pasukan sejak Mac lalu di dapati mengunakan pelindung kepala ringkas tetapi mungkin perlu menggunakan ‘helmet’ yang sama seperti Cech semasa perlawanan sebenar.

Kedua-dua pelindung kepala tersebut berfungsi sebagai pelindung kepada sebarang hentakan.

Jimenez kini telah mengumpul 47 gol dari 110 penampilan untuk kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan sejak tiba dari Benfiza pada 2018. – MalaysiaGazette