Semua pelajar, kakitangan, ahli keluarga dan pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (Semesta), Raub diminta tampil menjalani ujian saringan Covid-19

KUANTAN –  Semua pelajar, kakitangan, ahli keluarga Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (Semesta), Raub diminta menjalani ujian saringan Covid-19 dengan segera berikutan empat kes positif telah dikenalpasti.

Pegawai Daerah Raub, Datuk Mohammad Shahid Ismail berkata, sehingga kini empat pelajar sekolah itu disahkan positif Covid-19.

Katanya, seramai 188 orang pelajar dan kakitangan Semesta telah menjalani ujian calitan dan masih menantikan keputusan ujian saringan.

“Itu yang dalam Raub sahaja, daripada jumlah itu empat telah disahkan positif, tetapi Semesta merupakan pelajar asrama penuh yang tinggal dari seluruh Pahang.

“Kes pertama dikesan setelah pelajar balik sebelum raya, sebab itu kami nasihatkan ahli keluarga kepada pelajar perlu disaring sama ada bergejala atau tidak segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

Lahirkan masyarakat yang berkualiti

COVID-19: 100 kakitangan Kompleks Seri Negeri jalani ujian

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berkata, pihaknya telah mengenalpasti punca penularan Covid-19 di sekolah tersebut berdasarkan penilaian yang dilaksanakan.

“Semua pelajar dan kakitangan Semesta Raub dan ahli keluarga dimohon untuk tampil menjalani ujian saringan Covid-19 secepat mungkin.

“Individu terlibat perlu mengikuti langkah-langkah dengan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk temujanji bagi ujian saringan, mereka perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah sementara menunggu saringan.

“Kerjasama daripada mereka yang terlibat amat  diperlukan demi keselamatan warga Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette