Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Johor hanya membenarkan 12 jemaah untuk solat Jumaat di masjid dan surau manakala empat orang sahaja bagi solat fardhu di masjid, surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Johor bermula hari ini.

Perkara itu diputuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Datuk Md Rofiki Samsudin dalam satu kenyataan di sini.

Jumlah jemaah solat Jumaat di masjid dan surau itu dihadkan kepada ahli jawatankuasa pengurusan tidak termasuk imam, bilal dan noja (ahli AJK) sementara jumlah jemaah solat fardhu di masjid, surau Jumaat dan surau kariah adalah termasuk imam, bilal dan noja, dengan jarak antara saf hendaklah diselangkan.

Sebanyak 91 masjid dan surau di Johor diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan setakat kelmarin.

Jelasnya, setelah diperkenankan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) menetapkan bilangan jemaah di masjid, surau Jumaat dan surau kariah perlu dihadkan.

“Arahan itu terpakai sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan MAIJ.

”Dalam situasi Covid-19 yang semakin meningkat, marilah kita bersatu hati merafakkan doa, mendirikan solat secara berjemaah di rumah masing-masing dan melakukan amalan kebaikan yang lain agar wabak ini segera berakhir,” katanya.

Selain itu, ruang solat bagi musafir, solat jenazah di masjid atau surau dan aktiviti ziarah tanah perkuburan Islam juga  tidak dibenarkan bermula esok.

Namun pengebumian jenazah dibenarkan dengan kehadiran 12 orang waris keluarga terdekat dengan syarat bukan jenazah pesakit Covid-19.

Johor merekodkan 468 kes baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negeri ini sebanyak 54,431 kes dengan 221 kematian.- Malaysiagazette