Pengasas produk kecantikan kulit jenama Natasya, Datin Muniroh Kassim bercakap semasa ditemubual bersama Malaysia Gazette di Damansara Damai, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2021.

DAMANSARA – Pengasas produk kecantikan kulit jenama Natasya, Datin Muniroh Kasim menafikan dakwaan syarikat bakal ‘gulung tikar’ gara-gara rangkaian produknya tidak lagi laku di pasaran.

Muniroh, 58, berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali, sebaliknya syarikatnya iaitu Perwanza Properties & Trading Sdn. Bhd. kini giat mengembangkan perniagaan dalam pelbagai bidang lain.

Jelas beliau, pihaknya juga telah menceburi bisnes kosmetik dengan memperkenalkan rangkaian produk di bawah jenama Zarania Beauty sejak tahun lalu namun majlis pelancarannya tergendala gara-gara penularan wabak Covid-19.

“Tidak benar kata Natasya bankrap. Tidak benar sama sekali kerana kita kekal di pasaran tetap nombor satu di mana ramai pembeli masih mengenali Natasya dari usia 18 tahun hingga 60 tahun.

“Alhamdulillah, saya bersyukur walaupun dilambak pelbagai produk di pasaran, Natasya masih lagi kukuh di pasaran walaupun saya akui jualannya tidak seperti waktu mula produk dikeluarkan dahulu. Tahun 2003 ketika itu memang nama Natasya melonjak menjadi produk yang mencecah jualan berjuta-juta sebulan.

Pengasas produk kecantikan kulit jenama Natasya, Datin Muniroh Kassim semasa ditemubual bersama Malaysia Gazette di Damansara Damai, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2021.

“Namun sejak Perintah Kawalan Pergerkan (PKP), kami tidak buang pekerja dan kakitangan lama masih bersama kami dan kekal dari dulu.

“No no no (gulung tukar), Natasya masih kukuh di pasaran dan mana ada gulung tikar dan pekerja pun tidak dibuang. Produk Natasya masih ada di pasaran cuma kini kami telah mengembangkan lagi secara online (atas talian),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Sekitar pertengahan tahun 2000, produk Natasya mencetus satu fenomena apabila jualannya cukup luar biasa hingga mencecah puluhan juta ringgit setahun.

Muniroh ketika itu bermula dengan menjual krim malam dari rumah ke rumah sebelum rangkaian produk Natasya berkembang pantas yang menjadi wanita kelahiran Kedah itu muncul jutawan Melayu yang disegani.

Namun akibat lambakan produk kecantikan kulit bermula awal tahun 2010, produk Natasya semakin sepi hingga menyebabkan ada berpendapat ia gagal untuk bersaing di pasaran yang menggunakan konsep jualan atas talian.

Pengasas produk kecantikan kulit jenama Natasya, Datin Muniroh Kassim menunjukkan produknya semasa ditemubual bersama Malaysia Gazette di Damansara Damai, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2021.

Mengulas lanjut, Muniroh berkata, bagi terus kekal relevan, beliau dan suami, Datuk Suhaimy Othman mendapat idea untuk menghasilkan produk kosmetik dengan menggunakan jenama Zarania iaitu gabungan Zahrah Rania sempena nama salah seorang cucunya.

Jelas ibu kepada tiga anak ini, pada mulanya, mereka hanya berhasrat untuk bermula dengan lima produk tetapi setelah berbincang dan membuat kaji selidik, sebanyak 10 produk dihasilkan bagi memenuhi kehendak pasaran semasa.

“Zarania Beauty diyakini mampu untuk menembusi pasaran luar negara seperti jenama Natasya kerana kualiti yang ditawarkan sangat berbaloi dengan harga mampu milik.

“Dari segi pengedaran, jenama ini mempunyai konsep ‘online shopping’ iaitu dipasarkan melalui atas talian dan pengedar yang terhad.

“Malah kami telah memilih penghibur tersohor, Datuk Jamal Abdillah dan isteri sebagai duta produk dan pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi,” katanya.

Sebahagian produk kecantikan kulit jenama Natasya semasa ditemubual bersama Malaysia Gazette di Damansara Damai, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2021.

Muniroh menambah, dalam mempelbagaikan bisnes syarikat, pihaknya terus rancak menceburi bidang pelancongan apabila memiliki resort di Cameron Highland dikenali Zarania Hillhomes yang sebelum ini dikenali Natasya Resort.

Jelas beliau, pihaknya juga memiliki Natasya Riverside Resort di Gopeng, Perak bagi peminat yang meminati aktiviti lasak di sungai.

“Konsep percutian yang kami tawarkan adalah unik di mana resort kami menawarkan penginapan dalam caravan seperti di luar negara.

“Ini membuatkan resort kami berbeza dengan lain dan mendapat sambutan tinggi pengunjung sebelum PKP tahun lalu apabila kadar penginapan sentiasa penuh,” katanya.

Menutup perbualan, Muniroh komited untuk menjadi produk Natasya setanding dengan produk luar negara apabila mereka telah memiliki kilang sendiri yang menggunakan mesin kimia khas dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi. – MalaysiaGazette

Pekerja melakukan kerja-kerja proses pembungkusan produk kecantikan kulit jenama Natasya semasa ditemubual bersama Malaysia Gazette di Damansara Damai, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2021.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast