EPF employees Provident Fund total lockdown closure
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen bagi tahun 2021, tengah hari esok.- Gambar hiasan.

 

KUALA LUMPUR – Pejabat dan kaunter perkhidmatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan ditutup sepanjang pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi bermula esok sehingga 14 Jun ini.

Sehubungan itu, semua sesi janji temu yang dibuat melalui saluran Janji Temu Online (JTO) dalam tempoh ini akan dibatalkan dan ahli KWSP perlu membuat janji temu semula pada tarikh selepas tempoh total lockdown berakhir jika ada keperluan untuk hadir di cawangan KWSP.

Janji temu bagi Pengeluaran Umur 50, 55, 60, dan Hilang Upaya akan diberikan keutamaan apabila pejabat dan kaunter perkhidmatan KWSP mula beroperasi semula.

Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka supaya rantaian jangkitan dapat diputuskan.

Bagi ahli KWSP yang telah memohon Pengeluaran i-Sinar dan sedang menunggu pembayaran melalui Arahan Bayaran, cawangan KWSP yang berkenaan akan menghubungi ahli untuk urusan pengambilan Arahan Bayaran tersebut di cawangan yang telah dipilih oleh mereka.

Perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti permohonan Pengeluaran Perumahan, Umur 50, 55 dan 60, hanya boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun.

Walau bagaimanapun, proses pengesahan cap ibu jari bagi melengkapkan transaksi dalam talian ini hanya boleh dilaksanakan setelah tamat tempoh total lockdown apabila cawangan dibuka semula kelak.

KWSP maklum akan kerumitan yang mungkin timbul daripada penutupan ini, namun langkah-langkah pencegahan yang diambil ini adalah penting bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan memastikan keselamatan dan kesihatan ahli serta anggota KWSP sentiasa terjaga dan terpelihara.- MalaysiaGazette