Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) amat kesal apabila mendapat beberapa lagi berita mengenai kematian dalam tahanan.

Kes itu melibatkan kematian A. Ganapathy pada 18 April 2021, S. Sivabalan pada 20 Mei 2021 dan Surendran Shanker pada 27 Mei 2021.

Tiga kematian lelaki yang agak muda dan sihat semasa ditangkap, dalam tempoh hanya lima minggu menunjukkan kelemahan prosedur operasi standard (SOP) ataupun berkemungkinan berlakunya penyeksaan dan kekerasan terhadap mereka yang ditahan.

Suhakam berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan oleh NGO iaitu EDICT dan CAGE dan beranggapan cara mereka mempersoalkan peranan Suhakam dalam menjalankan siasatan kematian dalam tahanan sebagai merendahkan mandat undang-undang dan tugas Suhakam sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan sepertimana yang termaktub dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

Suhakam menambah, pihaknya memandang serius isu kematian dalam tahanan dan menekankan bahawa setiap individu mempunyai hak paling asas iaitu hak kepada nyawa dan ia tidak boleh diambil sewenang-wenangnya.

Seperti yang dijamin di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan Perkara 6 Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), hak kepada nyawa merupakan prasyarat kepada kesedaran keseluruhan hak asasi manusia.

”Isu kematian dalam tahanan kekal dan akan sentiasa menjadi fokus utama Suhakam dan siasatan Suhakam menyediakan saluran alternatif kepada keadilan terhadap keluarga mangsa sementara kami bekerjasama dengan pihak berkuasa mencari jalan dan cara untuk mengurangkan risiko kematian dalam tahanan,” katanya di sini.

Lantaran itu, Suhakam menggesa Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk segera mengambil tindakan terhadap syor-syor berikut:

i. Memastikan mereka yang dilucutkan kebebasan ditahan di tempat tahanan yang digazetkan mengikut undang-undang;
ii. Menyiasat kes dakwaan salah guna kuasa dan salah laku polis, termasuk yang dinyatakan di atas, dan mendakwa pegawai polis yang bertanggung jawab terhadap tahanan salah, layanan buruk dan/atau penyeksaan terhadap si mati yang mungkin menyebabkan dan/atau menyumbang kepada kematian mereka;
iii. Menyiasat insiden dakwaan penyeksaan dan penderaan suspek lain oleh polis, dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab; dan
iv. Memastikan prosiding tatatertib dalaman dan tindakan jenayah kerana melanggar arahan, termasuk apa-apa arahan mahkamah yang berkait dengan kes berkenaan.

Suhakam juga menyokong penubuhan pasukan perubatan di lokap polis dan menggesa agar Peraturan Lokap 1953 dikaji semula, selain mengesyorkan agar Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tatakelakuan Polis dikaji semula bagi memasukkan perkara-perkara yang terkandung dalam Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 serta syor-syor daripada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia 2005.

”Suhakam berpandangan ini adalah masa yang sesuai untuk mengesyorkan agar kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk menyertai Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) bagi menunjukkan komitmen Kerajaan untuk menangani isu kematian dalam tahanan di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette