Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Satu lagi kes kematian dalam tahanan dilaporkan berlaku semalam di Penjara Kluang, dakwa Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).

Menurutnya, kes kali ini melibatkan seorang lelaki berusia 30an warganegara Nepal.

Mayat kini berada di Hospital Kluang untuk dilakukan proses bedah siasat.

Sehubungan itu, EDICT mengulangi pendirian bahawa kematian dalam tahanan adalah tidak wajar berlaku.

Pihak penjara hendaklah sentiasa peka dengan keadaan kesihatan serta cakna integriti dalam memastikan tahanan mendapat layanan yang berperikemanusiaan.

”EDICT ingin menegaskan bahawa, satu siasatan inkues mesti dilakukan bagi mengetahui punca kematian serta pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian selaras dengan
kehendak seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah yang telah memandatkan kes-kes kematian dalam penjara atau lokap polis atau hospital sakit jiwa untuk disiasat oleh mahkamah koroner.

”Selain itu Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 2 Tahun 2019 juga turut mengarahkan agar Mahkamah Koroner untuk mengendalikan inkues kematian dalam tahanan.

Menurutnya, siasatan kematian ini juga hendaklah dilakukan oleh Mahkamah Koroner dan bukannya pihak-pihak lain yang cuba menangguk di air yang keruh.

EDICT juga bersiap sedia untuk membantu pihak keluarga sekiranya memerlukan bantuan guaman bagi mendapatkan keadilan untuk mangsa. – MalaysiaGazette