KUALA LUMPUR – Negara merekodkan kes kematian akibat Covid-19 sebanyak 103 – tiga digit untuk tiga hari berturut-turut.
Semalam, kes kematian yang direkodkan adalah 126.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 3,096 kes.
Kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga kekal tiga angka dengan hari ini jumlahnya seramai 880 orang.
“Daripada jumlah itu 446 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan manakala jumlah kes aktif adalah sebanyak 83,331,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, kes sembuh baharu bagi hari ini pula adalah sebanyak 7,049 dan dengan pertambahan itu jumlah keseluruhan pesakit yang pulih daripada Covid-19 adalah seramai 508,947 orang.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 8,209 kes positif baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini meningkat ke 595,374 kes. – MalaysiaGazette