Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

SHAH ALAM – Polis Selangor telah memanggil semua saksi untuk diambil keterangan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melalui laman sosial Instagram milik ibu selebriti popular, Neelofa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, seramai tujuh individu telah dipanggil setakat ini bagi membantu siasatan kes penghinaan terhadap institusi Diraja itu.

“Semua keterangan saksi kita telah ambil. Kesemua mereka tujuh orang sudah dipanggil beri keterangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Pada Selasa lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, Datin Noor Kartini Mohamed hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, 1 Jun lalu.

Difahamkan, Noor Kartini memberi keterangan selama dua jam bermula 10 pagi sehingga 12 tengah hari.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan teknikal sebelum kes itu boleh dirujuk kepada pendakwaraya untuk tindakan seterusnya.

“Kita sedang menunggu laporan teknikal. Bila selesai semua, kita akan rujuk kepada pihak pendakwaraya,” jelasnya.

Sebelum ini, polis memulakan siasatan menerima laporan dibuat pemilik akaun berkenaan kira-kira pukul 5.44 petang, pada 31 Mei lalu.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati hantaran yang memaparkan gambar laporan berita disiarkan TV3 bertajuk Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar itu dimuat naik wanita berusia 32 tahun dipercayai pengurus media sosial syarikat milik Noor Kartina.

Individu terbabit dikatakan tersilap menggunakan akaun Instagram milik ibu Neelofa dengan membuat hantaran melalui medium ‘IG Story’.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955. – MalaysiaGazette