Saifuddin Nasution Ismail mendengar talimat daripada pempamer semasa melakukan walkabout efense Service Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) 2024 di MITEC, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka strategi untuk meningkatkan penggunaan teknologi terutama dalam  teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, komponen kawalan sempadan negara ketika ini adalah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang  ditubuhkan 1 Mei lalu.

Katanya, MCBA bertindak sebagai agensi tunggal dalam menyelia kawalan keselamatan sempadan serta memberi penekanan khusus penggunaan teknologi terkini melibatkan AI dan perlu diadaptasikan sebaik-baiknya untuk memperkukuhkan lagi tadbir urus kawalan keselamatan sempadan negara.

“Sehubungan itu, penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 diyakini akan menjadi platform terbaik untuk Malaysia dan negara lain yang mengambil bahagian.

“Ia akan memberi peluang luas kepada Malaysia dan negara-negara delegasi yang menyertai pameran DSA untuk bertukar idea, pengetahuan dan pendapat bagi memastikan amalan terbaik dapat dihasilkan dan dicapai.

“Sekarang kita dah ada (MCBA), jadi bagaimana kita nak manfaatkan teknologi dan inovasi dalam bidang kawalan keselamatan di sempadan dan kerana itu KDN sangat teruja untuk melihat aspek sekuriti ini supaya membentuk satu negara yang selamat dan terjamin,” katanya pada sidang media bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Terdahulu beliau bersama Khaled Nordin meninjau persiapan terakhir pempamer pameran DSA itu di sini Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada hari ini.

Saifuddin menambah,  DSA ini akan menjadi salah satu acara utama dalam industri pertahanan dan Keselamatan di seluruh dunia serta berfungsi sebagai platform bertukar pandangan mengenai maklumat produk, sistem terkini yang penting bagi agensi penguatkuasa undang-undang dan pihak industri berkepentingan di peringkat serantau dan global.

Katanya, selain menjadi platform untuk menangani isu-isu mendesak, penganjuran acara ini juga memainkan peranan penting dalam memupuk kerjasama antara agensi, perkongsian pengetahuan berkenaan strategi dan tindak balas yang penting dalam mengemudi kawasan keselamatan yang kompleks.

“Dalam kita menghadapi suasana persekitaran keselamatan yang tidak menentu, penyelarasan dan integrasi lebih baik antara agensi keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan di peringkat nasional dan antarabangsa adalah menjadi salah satu keutamaan.

“Ingin saya tekankan juga visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat jelas dalam memacu Malaysia ke arah menjadi sebuah negara yang mampan dan berpendapatan tinggi.

“Bagi mencapai visi dan wawasan tersebut, persekitaran yang terjamin dan selamat memainkan peranan yang amat penting dan ancaman seperti serangan siber, radikalisme dan ekstremisme, perlu ditangani dengan sebaiknya dalam menjaga keharmonian dan kelestarian Negara,” ujarnya lagi.

Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 akan membuka tirai esok dan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sehingga 9 Mei ini.

Turkiye sekali lagi muncul sebagai kontinjen terbesar pada Pameran DSA dan NATSEC 2024 dengan hampir 70 syarikat telah mengesahkan penyertaan termasuk Aselsan, Canik, Dearsan Shipyard dan Turkish Aerospace Industries.

Syarikat tempatan pula termasuk DEFTECH, Advanced Defence System, OpenApps, MILDEF, Sapura, Malvus Sense, Weststar Group, Nadi Corp, SME Ordnance, System Consultancy Services dan Mindmatics.

DSA dan NATSEC 2024 terbuka kepada delegasi peringkat tinggi, kakitangan kerajaan, profesional dan eksekutif dalam industri pertahanan dan keselamatan serta polis dan agensi penguatkuasaan sahaja.- MalaysiaGazette