Lapan guni daun ketum yang diapungkan di laut dan menunggu masa sesuai untuk diseludup ke negara jiran Thailand ditumpaskanm Maritim Kuala Kedah hari ini.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah hari ini menggagalkan cubaan menyeludup keluar lapan guni daun ketum.

Daun ketum seberat 110 kilogram itu ditemui terapung pada kedudukan 1.3 batu nautika daripada muara Kuala Kuar, Kedah pada jam 2.15 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, ia merupakan rampasan keenam pasukannya membabitkan daun ketum pada tahun ini.

“Bungkusan guni terbabit dijumpai terapung di laut dan disyaki menunggu masa yang sesuai untuk diambil dan diseludup ke sempadan.

“Modus operandi penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran yang dilakukan adalah sama seperti tangkapan sebelum ini iaitu menggunakan bot fiber tanpa nombor pendaftaran menuju ke sempadan Thailand dan dipindahkan ke bot-bot nelayan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, tangkapan berkenaan juga adalah hasil risikan maklumat dan intipan yang dilakukan ke atas aktiviti penyeludupan di perairan negeri ini.

Menurut Noor Azreyanti, aset-aset Zon Maritim Kuala Kedah telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk melakukan pemeriksaan ke atas bot-bot yang disyaki menyeludup dadah dan daun ketum.

Hasil tinjauan di lokasi sekitar titik panas, pasukan Maritim telah menjumpai bungkusan guni terbabit yang disyaki daun ketum seberat 110 kilogram dengan anggaran nilai RM 19,800, ujarnya.

“Zon Maritim Kuala Kedah percaya ini adalah jenayah terancang dan akan menjejaki dalang utama sindiket ini bagi memastikan aktiviti penyeludupan daun ketum ini dapat dilumpuhkan.

“Semua hasil rampasan dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” ujar beliau.

Menurut Azreyanti, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Tambahnya, suspek yang didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat  tahun atau kedua-duanya.

Orang awam yang mempunyai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. -MalaysiaGazette