KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan seorang penunggang motosikal yang dipercayai melakukan ugutan jenayah terhadap seorang remaja dalam satu kejadian yang berlaku berhampiran Menara PGRM, Cheras pada 19 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 19 tahun itu di Balai Polis Cheras pada hari yang sama.

“Remaja itu dikatakan sedang memandu keretanya sebelum ditahan oleh penunggang motosikal terbabit yang kemudiannya mendakwa pengadu telah keluar dari simpang jalan di kawasan itu dan nyaris menyebabkan kemalangan.

“Penunggang motosikal itu bertindak mengeluarkan sebatang besi dan mengetuk cermin hadapan kereta pengadu dan turut meminta pengadu untuk keluar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Mokhsein, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan dan tindakan mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang awam supaya lebih berhati-hati dan berhemah semasa berada di jalan raya selain tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang.

Mohamed Mokhsein turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Deputi Superintendan Ahmad Zamri Jai di talian 012-8993622 atau Bilik Gerakan IPD Cheras di talian 03-92845050.

Sejak beberapa hari lalu tular di laman Facebook menunjukkan seorang lelaki yang memakai baju T berwarna hitam dan seluar celoreng tanpa mengenakan pelitup hidung dan mulut mengamuk dengan membawa sebatang besi.

Rakaman video berdurasi satu minit satu saat itu memaparkan lelaki terbabit mengetuk beberapa kali cermin di bahagian hadapan kereta. – MalaysiaGazette