KUALA LUMPUR – Pelbagai spekulasi bertiup kencang berikutan tindakan Istana Negara memanggil mengadap ketua parti politik secara bergilir Rabu lalu.
Ada pemimpin politik, terutama dari pembangkang mendakwa akan berlaku satu pembentukan kerajaan baharu selepas majlis mengadap ketua parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong.
Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, spekulasi itu bagaimanapun tersasar apabila ketua parti politik utama terakhir, iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selesai mengadap semalam.
Katanya, setakat ini belum ada pengumuman rasmi tujuan sebenar majlis mengadap itu dibuat, namun Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataannya menyatakan, perbincangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara akan diadakan pada 16 Jun ini.
Beliau yang juga Setiausaha Pertubuhan Cendekiawan Negara (Cendikiawan) menjelaskan, perbincangan kha situ dibuat atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong berkaitan usaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.
“Ini menunjukkan majlis mengadap ketua-ketua parti politik utama negara pada Rabu hingga semalam mempunyai tujuan yang sama, bukan untuk pembentukan kerajaan baharu.
“Paling menarik, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dilapor mengandaikan kemungkinan akan berlaku satu pembentukan kerajaan baharu selepas majlis mengadap ketua parti politik utama negara dengan Yang di-Pertuan Agong.
“Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengadap, menyatakan kepada media, isu pembentukan kerajaan baharu tidak menjadi bahan perbincangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, semua itu menjadi petunjuk nyata Yang di-Pertuan Agong, tidak seperti sangkaan sesetengah pihak, sangat prihatin dengan penularan wabak Covid-19, bukan setakat menzahirkannya dalam kenyataan, malah menterjemahkannya dalam tindakan baginda sehingga ke tahap membincangkannya dengan Raja-Raja Melayu.
Jelas beliau, kesediaan Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap ketua parti politik utama negara, khususnya dari kalangan parti politik pembangkang juga adalah indikasi jelas Istana Negara kekal relevan sebagai payung rakyat yang berada di atas politik dan sentiasa bersedia mendengar segala keluhan rakyat jelata.
Sesungguhnya, kata Dr. Kamarul Zaman, inisiatif Yang di-Pertuan Agong itu adalah tindakan terpuji yang membuktikan baginda bukan raja kepada kaum, penganut agama atau golongan tertentu sahaja, tetapi raja kepada semua golongan rakyat, dengan peranan semak imbang penting kepada badan eksekutif yang dijalankan.
“Tidak hairanlah, setelah selesai mengadap baginda, ketua parti politik utama negara menyatakan penghormatan dan kekaguman mereka ke atas kesediaan baginda berlapang dada mendengar dan mencatatkan semua pandangan yang mereka kemukakan sebagai mewakili pendirian parti masing-masing.
“Pada masa sama, kurang manis dan berada di luar daripada tata susila yang lazim untuk mana-mana individu yang mengadap baginda mendedahkan segala butiran percakapan dan titah dikeluarkan dalam majlis tersebut kepada khalayak umum kerana semua itu sepatutnya menjadi satu rahsia.
“Begitupun, inilah yang dilakukan Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila mendedahkan butiran cadangan beliau dan titah Yang di-Pertuan Agong kepadanya, khusus menyentuh cadangan supaya diwujudkan Mageran (Majlis Gerakan Negara) yang mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir negara,” katanya.
Mengikut cadangan Tun Dr. Mahathir, Mageran perlu ditubuhkan bagi membolehkan masalah dihadapi negara sekarang seperti wabak Covid-19, ekonomi dan politik diselesaikan sepertimana masalah dihadapi negara selepas Peristiwa 13 Mei 1969 diselesaikan olehnya.
Lebih jauh lagi, kata beliau, Tun Dr. Mahathir juga mencadangkan dirinya untuk mengetuai Mageran di atas asas pemimpin dalam parti beliau, Pejuang, telah membincangkan dengan mendalam masalah itu serta mereka dikatakan tahu cara untuk menyelesaikannya, tetapi sukar melaksanakannya kerana tidak ada kuasa.
“Menariknya, apabila ditanya wartawan apa reaksi baginda ke atas cadangan itu, Tun Dr. Mahathir menjawab, baginda tidak menyatakan “tidak” kepadanya, tetapi sebarang cadangan mengenainya mestilah datang daripada kerajaan yang sedang memerintah sekarang.
“Titah Yang di-Pertuan Agong ini, jika benar, membuktikan kebijaksanaan baginda selaku seorang Raja Berperlembagaan, sekali gus menafikan pandangan pihak tertentu bahawa Mageran boleh ditubuhkan walaupun tanpa cadangan daripada kerajaan.
“Pada masa sama, cadangan Tun Dr. Mahathir ini membuktikan betapa kenyataan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad sehari sebelumnya mengenai usaha pihak tertentu supaya ditubuhkan Mageran ini dan ia tidak perlu, adalah sesuatu yang wajar dan bertepatan,” ujarnya.
Sebelum ini, Dr. Marzuki menjelaskan, usaha menubuhkan Mageran adalah langkah ke belakang yang akan merencatkan perancangan kerajaan untuk memulihkan negara daripada krisis yang dihadapi pada masa ini, termasuk melalui beberapa mekanisme khusus yang sedia ada untuk menangani wabak Covid-19. – MalaysiaGazette

















Pff knkong apa tau.. Idea TUN melangkawi pemikiran orng biasa.. Salute TUN