KUALA LUMPUR – Universiti UCSI terus memperbaiki prestasi apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 350 terbaik, sekali gus 1.1% universiti terbaik di dunia.

QS World University Rankings 2022 dalam penilaian terkini menempatkan UCSI di kedudukan 347, naik 44 anak tangga berbanding prestasi sebelumnya di kedudukan 391.

Pemangku Naib Canselor dan Presiden UCSI, Dauk Peter Ng berkata, perkembangan terkini itu merupakan jerih payah pelajar dan kakitangan UCSI untuk mengangkat nama universiti di mata dunia.

”Pencapaian ini adalah hasil daripada usaha berterusan kakitangan dan pelajar UCSI dalam meningkatkan prestasi universiti di peringkat antarabangsa dengan standard yang lebih baik,” katanya.

Tambahnya, dalam waktu sukar yang dihadapi hari ini, ahli akademik di UCSI akan terus berinovasi serta mencapai matlamat yang lebih tinggi.

Awal tahun ini, Institut Muzik (IMus) UCSI diiktiraf sekolah muzik terbaik di Malaysia apabila disenaraikan dalam kelompok 50 terbaik mengikut subjek bagi seni persembahan oleh QS World University Rankings 2021.

Dalam penilaian sama juga, Fakulti Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti (FHTM) turut ditempatkan di kedudukan 100 terbaik dunia bagi subjek pengurusan dan hospitaliti.

Fakulti Kejuruteraan (FETBE) di kedudukan 150 terbaik dunia mengikut subjek kejuruteraan petroleum sementara Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FBM) di kedudukan 300 terbaik dunia bagi subjek pengajian pengurusan dan perniagaan.

Untuk rekod, UCSI memiliki hubungan yang baik dengan universiti-universiti terbaik dunia di mana pelajar terbaik berpeluang terpilih untuk program penyelidikan termasuklah di Harvard University, Imperial College London, Tsinghua University, University of Chicago dan University of Queensland. – MalaysiaGazette