KUALA LUMPUR – Perkembangan terbaik direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam dan hari ini apabila tidak ada lokaliti dilanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Sebaliknya, KKM merekodkan 15 lokaliti iaitu 13 di Pulau Pinang dan dua di Sabah penamatan PKPD mulai jam 12.01 tengah malam ini namun PKPD di lokaliti baharu turut mencatatkan penurunan kepada tujuh kawasan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua tujuh lokaliti dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 18 Jun hingga 1 Julai itu melibatkan Kampung Bukit Gemuk di Tawau dan Perumahan Etara, Jalan Agaseh di Lahad Datu, Sabah.
Turut dikenakan PKPD di Sabah ialah Kampung Tanjung Batu Keramat di Tawau dan dua kawasan di Kudat iaitu Kampung Landung Ayang dan Taman Lavender, manakala di Bahagian Kuching, Sarawak ialah Kampung Serikin, Bau; dan Perumahan Awam Desa Rejang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Jelas beliau, kawasan yang ditamatkan PKPD pula 13 lokaliti sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12, Barat Daya, Pulau Pinang, diikuti Mukim Pekan di Kunak dan SMU Pantai Manis, Papar, Sabah.
Bagi lokaliti PKPD, Ismail Sabri berkata, KKM melaporkan lapan kes positif Covid-19 dikesan hasil daripada 13 ujian saringan dengan kadar positiviti 61.54 peratus di Kampung Bukit Gemuk, Tawau.
Begitu juga di Perumahan Etara, Jalan Agaseh, Lahad Datu, sebanyak 15 kes positif direkodkan daripada 51 ujian saringan dengan kadar positiviti 29.41 peratus, sekali gus menyaksikan kes meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur pula terdapat peningkatan kes yang amat ketara dalam masa singkat apabila 264 kes positif direkodkan hasil daripada 3,512 saringan dengan kadar positiviti 7.52 peratus.
Di Kampung Serikin, Bau, KKM merekodkan 20 kes positif daripada 83 ujian saringan dengan kadar positiviti 24.1 peratus, juga menunjukkan kes meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.
Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau menunjukkan 14 kes positif daripada 22 ujian saringan yang direkodkan dengan kadar positiviti 63.64 peratus, iaitu kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.
Bagi dua lokaliti di Kudat, KKM telah melakukan 65 ujian saringan dan dari jumlah itu 17 kes positif direkodkan di Kampung Landung Ayang, manakala di Taman Lavender sebanyak 10 kes positif dikesan selepas 27 individu disaring.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri menyatakan, seramai 841 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.
Ujar beliau, daripada jumlah itu, 821 individu dikompaun, manakala 20 lagi individu direman.
Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (170), tiada penjarakan fizikal (165), tidak memakai pelitup muka (157), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (103), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (91).
Kesalahan lain ialah membawa penumpang berlebihan (87), aktiviti pusat hiburan (32), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (24 kes).
Mengenai Operasi Benteng, katanya, semalam seramai 10 pendatang asing tanpa izin telah ditangkap dan empat kenderaan darat serta tiga bot, kapal dirampas.
“Dalam operasi itu, sebanyak 221 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan,” katanya. – MalaysiaGazette