Hal-hal berkaitan wabak COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tujuh negeri bermula semalam menjadi perkara bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengeluarkan notis panggilan bagi membolehkan Parlimen bersidang sebelum Darurat tamat pada 1 Ogos 2021 bagi mentaati dan menghormati titah pandangan dan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, istilah ‘secepat mungkin’ yang digunakan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberikan indikasi  jelas supaya Parlimen bersidang segera.

Ujarnya, sidang Parlimen mustahak untuk disegerakan bagi membolehkan suara, harapan dan pelbagai tuntutan rakyat yang sedang berhadapan kesempitan di kala pandemik Covid-19 dapat diperbahaskan sekaligus diangkat secara rasmi oleh wakil-wakil rakyat.

“Pemuda amat terkilan dengan sikap kerajaan yang dilihat cuba berdolak-dalih dan mempolemikkan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ seolah-olah tidak menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah,” katanya menerusi kenyataan.

Artikel berkaitan;

Menurutnya, kegagalan melaksanakan titah Agong dan Raja-Raja Pemerintah ini boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan.

Dalam masa yang sama Pemuda UMNO kata beliau, mendesak kepimpinan tertinggi parti itu membuat keputusan tegas sekiranya kerajaan tidak mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.

“Ini seiring dengan asas dan tujuan perjuangan UMNO untuk sentiasa membela dan mempertahankan kepentingan Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong mahu persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Baginda menzahirkan perkara itu selepas berkenan menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun 2021.

Seri Paduka juga berpandangan perlu ada pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani pandemik dan memulihkan ekonomi negara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast