Industri pelancongan yang suram menyebabkan bas-bas pelancong tidak dapat beroperasi.

KUALA LUMPUR – Wabak COVID-19 terus mengancam industri pelancongan dengan ribuan bas pelancongan berdepan risiko “ditarik” selepas pemiliknya gagal menjelaskan hutang pinjaman.

Nanyang Siang Pau melaporkan, daripada kira-kira 8,000 bas pelancongan yang ada di Semenanjung, 80 peratusnya masih berhutang dalam membayar pinjaman.

Walaupun mendapat moratorium daripada bank selama enam bulan yang diumumkan kerajaan pada Mac tahun lalu, tetapi ketiadaan pendapatan menyebabkan pengusaha masih gagal membayar pinjaman.

“Banyak pengusaha sudah tidak mampu membayar pinjaman antara RM8,000 jingga RM10,000.

“Kami memang tak berdaya melakukan apa-apa melainkan melihat bas kami ditarik oleh syarikat kewangan,” kata seorang pengusaha.

Disebabkan kebanyakan bank tidak menyediakan pinjaman untuk bas pelancongan, pengusaha kebanyakannya meminjam daripada syarikat kewangan dan syarikat pinjaman.

Syarikat berkenaan memberi moratorium maksimum tiga bulan pada tahun lalu dan mengkehendaki peminjam menyusun semula pinjaman mereka.

Namun begitu, keadaan wabak yang lebih mengganas pada tahun ini juga menyebabkan ramai yang tak mampu membayar, selain tidak kurang yang bertukar kerja tetapi masih berhutang walaupun bas pelancongan mereka tidak berjalan.

Jika keadaan tidak bertambah baik, sebanyak 80 peratus agensi pelancongan yang mempunyai bas sendiri juga dijangka tidak dapat bertahan menjelang akhir tahun.

Daripada 1,600 agensi yang mempunyai bas sendiri, sebanyak 600 dilaporkan telah menggulung tikar setakat ini. – MalaysiaGazette