Toh Kian Kok

KUALA LUMPUR – Universiti UCSI menawarkan biasiswa sehingga RM30 juta serta pengecualian yuran kepada lepasan SPM daripada keluarga terjejas akibat pandemik Covid-19 yang memperoleh keputusan cemerlang pada tahun ini.

Pro Naib Canselor Universiti UCSI (Kampus KL), Professor Datuk Dr Toh Kian Kok berkata, pelajar SPM yang menerima 9A+ juga layak menerima biasiswa penuh daripada universiti.

”Ini adalah salah satu usaha kami memberi kembali kepada komuniti dan kami memilih memperkasakan pelajar dengan pendidikan yang tepat.

”Ketika banyak perniagaan terkesan dengan pandemik sehingga ramai yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa berdepan dengan pemotongan gaji, kami terpanggil untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Biasiswa dan Dermasiswa Sukan UCSI dianugerahkan kepada pelajar Malaysia yang layak tanpa mengira bangsa dan agama bagi menyambung pengajian di peringkat universiti sama ada dalam bidang asasi, A-Level, diploma, ijazah mahupun sarjana.

UCSI menawarkan lebih 100 program ijazah dalam pelbagai disiplin antaranya, perniagaan, kejuruteraan, muzik, seni dan reka bentuk, komunikasi massa, biosains, seni bina, pengurusan hospitali dan pelancongan, perubatan, sains komputer, kecerdasan buatan (AI) dan sains farmaseutikal.

QS World University Rankings 2022 dalam penilaian terkini menempatkan UCSI di kedudukan 347, naik 44 anak tangga berbanding prestasi sebelumnya di kedudukan 391, sekali gus berada dalam kelompok 1.1% universiti terbaik di dunia. – MalaysiaGazette