RAMALLAH – Vaksin yang dipulangkan pihak berkuasa Palestin akan ‘dibuang ke tong sampah’, kata seorang pegawai Kementerian Kesihatan Israel.

Media Israel melaporkan, perbincangan untuk memuktamadkan perjanjian pertukaran vaksin koronavirus masih diteruskan walapun kerajaan Palestin mengumumkan ia akan membatalkan perjanjian tersebut pada Jumaat lalu.

Akhbar Haaretz berkata, kerajaan Palestin ‘tahu tentang tarikh luput vaksin itu sebelum menandatangani perjanjian tersebut’ dan membatalkan perjanjanjian selepas orang ramai mula mengkritik.

Kementerian Kesihatan Israel mendakwa penghantaran yang dipindahkan kepada pihak berkuasa Palestin adalah baik dan ‘vaksin yang dihantar ke Palestin adalah sama dengan vaksin yang diberikan kepada orang ramai pada hari ini’.

Pada Jumaat lalu, kerajaan Palestin memutuskan untuk memulangkan vaksin koronavirus itu berikutan ‘kekurangan pematuhan spesifikasi’.

Jurucakap kerajaan Palestin, Ibrahim Melhem pada sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan Palestin, Mai al-Kaila berkata, kakitangan teknikal kementerian itu mendapati kumpulan pertama vaksin sebanyak 90,000 dos tidak mematuhi spesifikasi perjanjian selepas pemeriksaan dilakukan. – MalaysiaGazette