Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan terdapat 69 peratus kes sporadik Covid-19 daripada 578,105 kes dikesan di negara ini sejak enam bulan pertama tahun ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan terdapat 69 peratus kes sporadik Covid-19 daripada 578,105 kes dikesan di negara ini sejak enam bulan pertama tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sejak Januari tahun ini jumlah kes sporadik sebanyak 398,846 kes.

Negeri tertinggi yang melaporkan kes sporadik adalah negeri Selangor dengan 151,725 kes (38.0 peratus), Kuala Lumpur sebanyak 44,517 kes (11.2 peratus) dan diikuti oleh negeri Sarawak sebanyak 40,889 kes (10.3 peratus).

Dr. Noor Hisham daam satu kenyataan berkata, kes sporadik  dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti atau dari saringan kes bergejala.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik tersebut tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan SOP dengan betul,” katanya.

Jelas Dr. Noor Hisham, Lembah Klang mencatatakn jumlah kes sporadik tertinggi pada minggu Minggu Epidemiologi (ME) 24 iaitu Daerah Petaling dengan 3,905 kes, Daerah Hulu Langat dengan 2,783 kes, dan Daerah Klang dengan 2,482 kes.

Dalam pada itu, kluster tempat kerja terus sumbang peningkatan kluster Covid-19 dengan 14 daripada 22 kluster dikesan KKM.

Antaranya Kluster Industri Jalan Bebas Tiga dengan 24 kes, Kluster Industri Jalan Enggang Ampang (8), Kluster Industri Jati Kiri (184), Kluster Industri Batu Besar (130), Kluster Tapak Bina Gunung Satu (150), Kluster Perindustrian Sri Plentong (14), Kluster Jalan Pekeliling Industri (26), Kluster Jalan Bioteknologi Dua (9), Kluster Industri Bukit Tengah (24), Kluster Lebuh Kurau Tiga (12), Kluster Jalan Jelai – Rompin (42), Kluster Samedra (25), Kluster Jalan Merbok Ayer Keroh (21) dan Jalan Baru Tatau – Bintulu (22).

Bakinya adalah tujuh kluster komuniti dan selebihnya ada kaitan kumpulan berisiko tinggi.

Kluster-kluster itu adalah Kluster Kampung Muara Tebas (19), Kluster Kevok, Sarawak (58), Kluster Quadruplex Lapan Enam (20), Kluster Kampung Tiong (13), Kluster Jalan Jeram Pasu (29), Kluster Taman Rantau Mas (10), dan Kluster Serudung Baru (19).

Satu kluster kumpulan berisiko tinggi turut dikesan di Kelantan iaitu Kluster Jalan Tok Jangggut dengan 16 kes.

Kluster dikesan di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah, Melaka, Sarawak dan Kelantan. – MalaysiaGazette