Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Wilayah Persekutuan Labuan Rithuan Mohd Ismail antara yang akan melaksanakan tugas memastikan imuniti kelompok di wilayah itu dicapai dan prosesnya berjalan lancar.

KUALA LUMPUR – Labuan disasarkan menjadi Wilayah Persekutuan pertama mencapai imuniti kekompok iaitu seawal Julai, selepas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dilaporkan akan menghantar 30,000 lagi dos vaksin.

Sudah tentu, demi memastikan sasaran kerajaan itu dapat dicapai, pelbagai usaha melibatkan banyak pihak perlu digembeleng.

Demi memastikan sasaran itu tercapai tepat pada masa yang disasarkan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Wilayah Persekutuan (WP) Labuan antara yang memainkan peranan penting pada waktu ini.

Menurut Pengerusinya Rithuan Mohd Ismail, JPBD bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) WP Labuan untuk mengenal pasti dan menambahkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu bagi melancarkan proses vaksinasi kepada seluruh warganya.

JPBD berkenaan sebelum ini telah menetapkan tujuh lokasi PPV, yang mana jumlahnya adalah berdasarkan kepada keperluan.

Kata beliau lagi, dalam masa yang sama pasukan JPDB yang mempunyai hubungan baik dengan pemimpin komuniti seperti para Ketua Kampung akan saling bekerjasama untuk mengelakkan tiada seorang pun warga di wilayah itu tercicir daripada program pemvaksinan ini.

“JPBD dalam hal ini melibatkan pemimpin-pemimpin masyarakat, ketua-ketua kampung khususnya Wakil-wakil Majlis Persatuan Penduduk Wilayah Persekutuan Labuan untuk bersama-sama jawatankuasa memastikan warga kampung mereka dikenalpasti dan layak divaksin supaya tidak ada yang ketinggalan.

“Kita (JPBD) meminta mereka memberikan nama-nama walaupun mungkin ada diantara mereka yang tidak mendaftar di MySejahtera tapi program pemvaksinan di Labuan ini kita membenarkan untuk mereka walk in ke PPV yang berdekatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Wilayah Persekutuan Labuan Rithuan Mohd Ismail.

“JPBD memastikan semua pemimpin masyarakat dan komuniti memainkan peranan mereka dan memastikan tidak ada lagi yang tertinggal untuk menerima suntikan vaksin dalam sebuah kampung,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bagi jumlah warga Wilayah Persekutuan Labuan yang telah mendaftar di MySejahtera untuk program vaksinansi telah mencapai 81.45%. Pemberian vaksin pula adalah sebanyak 39,792 bagi dos pertama dan 14,458 bagi dos kedua sehingga 24 Jun 2021.

Melihat kepada perkembangan terkini, Rithuan memaklumkan sambutan program vaksin di Labuan ini amat menggalakkan, terutama selepas Menteri Wilayah Persekutuan menyuarakan keyakinan Labuan bakal menjadi wilayah pertama capai imuniti kelompok pada pertengahan Julai 2021.

Mengulas lanjut peranan jawatankuasa itu di Labuan tatkala pandemik Covid-19 melanda seluruh negara sejak tahun lalu, katanya, tugas JPBD adalah memastikan usaha-usaha menangani bencana dan membantu JKN dapat dilaksanakan khususnya untuk mencegah, mengawal dan memutuskan rantaian Covid-19 di WP Labuan dengan teratur, selaras dan berkesan.

Jawatankuasa itu juga, mempergiatkan langkah-langkah mengurangkan risiko bencana melalui agensi/jabatan kerajaan di peringkat daerah dan komuniti secara berkesan dan berterusan.

“Kita akan melihat dari segi kejadian ini iaitu pandemik Covid-19 khususnya lokaliti itu sendiri, dasar yang dibuat oleh pusat dan kita melihat dasar tersebut boleh diaplikasikan sepenuhnya atau membuat sedikit modifikasi supaya dapat diterima komuniti,” jelas Pengerusi JPBD itu lagi.

Seterusnya jawatankuasa itu turut bekerjasama dengan jabatan-jabatan lain dalam wilayah berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKN dan lain lagi.

Sehingga kini kata Rithuan, JPBD telah memanfaatkan RM1.253 juta peruntukan yang disalurkan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) secara berperingkat sejak April 2020 untuk mengurus dan menangani Covid-19 di Wilayah Persekutuan tersebut.

Peruntukan itu juga katanya, telah digunakan untuk pengurusan dan pengoperasian Non-medical (bukan kesihatan) seperti pembukaan pusat kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (​PKRC) wilayah itu.

Terkini katanya, Hospital Medan yang juga akan berfungsi sebagai PKRC bakal beroperasi pada 26 Jun 2021.

Walaupun selepas Labuan berjaya mencapai imuniti kelompok, JPBD akan terus menggalas tanggungjawab untuk memastikan seluruh warga wilayah itu terus mengamalkan norma baharu seperti yang ditetapkan kerajaan, itu jaminan yang diberikan oleh Rithuan selaku Pengerusi JPBD. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast