WASHINGTON – Sekurang-kurangnya empat orang disahkan meninggal dunia sementara jumlah yang hilang meningkat kepada 159 orang setelah sebahagian sebuah bangunan kediaman 12 tingkat runtuh pada Khamis lalu di Miami-Dade, Florida.
Datuk Bandar Miami-Dade, Daniella Levine Cava berkata, tiga lagi mangsa ditemui di bawah runtuhan semalam.
Kondominium Champlain Towers South, yang dibina pada tahun 1981, sebahagiannya runtuh sekitar jam 1.30 pagi waktu tempatan.
Kira-kira 70 dari 130 unit kondominium musnah atau rosak, menurut Frank Rollason, Pengarah Pengurusan Kecemasan Miami-Dade.
Semua angka itu “sukar disahkan” kerana beberapa penduduk mungkin tidak berada di dalam bangunan ketika kejadian, kata Cava.
Bagaimanapun, katanya, pasukan penyelamat akan terus mencari kerana masih mempunyai harapan untuk menemui mangsa yang masih hidup.
Presiden Joe Biden telah mengisytiharkan keadaan darurat yang membenarkan pembiayaan dan bantuan bencana lain ke Surfside.
Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan akan menghantar sokongan, kata Datuk Bandar.
Sekurang-kurangnya 27 orang mangsa dari negara-negara Amerika Latin, termasuk Colombia, Cuba, Chile, Paraguay, Puerto Rico dan Argentina, adalah antara yang dilaporkan hilang oleh rakan dan keluarga berikutan runtuhan itu, menurut laporan akhbar tempata, Miami Herald. – MalaysiaGazette