Muhammad Guntor Mansor Tobeng

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melantik Datuk (Dr.) Ir. Muhammad Guntor Mansor Tobeng sebagai Profesor Adjung di bawah Fakulti Sains dan Matematik (FSM) bermula 1 Jun 2021sehingga 30 Mei 2023.

Beliau merupakan pengasas dan pengarah urusan Gading Kencana Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat perkhidmatan dan pembekalan tenaga boleh diperbaharu, khususnya solar. Industri solar merupakan salah satu industri yang sangat pesat dan telah menunjukkan perkembangan yang positif di Malaysia.

Ini adalah juga salah satu usaha untuk merapatkan jurang antara universiti dengan industri dengan kata lain mengindustrikan universiti.

Kebersamaan industri dengan universiti ini diharapkan dapat membantu universiti dalam memberi idea terutamanya pembinaan program akademik yang menyediakan pelajar yang diperlukan industri sebelum memasuki dunia pekerjaan kelak, kata Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff , Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni).

Muhammad Guntor juga merupakan tokoh terkemuka dalam perniagaan industri tenaga di Malaysia yang telah mendapat banyak anugerah dari dalam dan luar negara.

Pemilihan beliau sebagai Profesor Adjung di FSM adalah berdasarkan pengalaman beliau yang sangat luas di dalam bidang ini serta inovasi-inovasi yang pernah beliau lakukan berkaitan bidang tenaga yang boleh diperbaharui ini di dalam dan luar negara.

Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang bersama Muhammad Guntor termasuklah beberapa siri syarahan, seminar dan bengkel yang melibatkan pemindahan ilmu, terutamanya di dalam bidang ilmu dan industri tenaga boleh diperbaharui bersama tenaga akademik dan mahasiswa FSM.

Justeru, melalui pelantikan Profesor Adjung daripada industri ini, FSM yakin ianya akan membuka mata dan minda mahasiswa tentang peluang mereka untuk menerokai alam pekerjaan di bidang industri selain meletakkan kebergantungan terhadap sektor kerajaan sahaja. – MalaysiaGazette