Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus sehingga akhir tahun 2021, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Bagaimanapun, ia berpendapat bank pusat itu masih memiliki ruang untuk memotong kadar faedah penanda aras atau menyesuaikan dasar lain sekiranya keadaan ekonomi merosot dengan ketara.

“Kami mengekalkan pendapat kami bahawa BNM tidak akan membuat perubahan terhadap OPR kerana kadar semasa kekal akomodatif untuk menyokong pemulihan ekonomi Malaysia,” kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan, hari ini.

Peningkatan kes COVID-19 dan kawalan pergerakan adalah risiko penurunan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi negara tetapi keadaan ini bersifat sementara.

“Ketika ini, kami tidak melihat kelembapan itu memerlukan kelonggaran monetari lebih lanjut sebaliknya rangsangan fiskal tambahan dijangka dapat mengurangkan kesan buruk tersebut. Sentimen dalam ekonomi diunjur meningkat menjelang akhir tahun susulan daripada kemajuan program vaksinasi,” katanya.

Mengenai prospek ringgit, MIDF Amanah telah menyemak turun sasaran akhir tahun 2021 kepada 4.05 berbanding dolar US daripada 3.95 yang dianggarkan sebelumnya.

Ia juga menjangkakan unit tempatan diniagakan pada paras purata lebih rendah dari 4.07 berbanding dolar AS tahun ini daripada 4.05 sebelumnya.

“Sebagai pengeksport minyak bersih, turun naik harga minyak mentah telah mempengaruhi pergerakan ringgit,” katanya.

MIDF Amanah berkata ringgit biasanya menjadi kukuj dengan harga minyak mentah yang tinggi dan sebaliknya. Bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan bahawa ia berada pada arah aliran yang lemah walaupun harga minyak mentah yang lebih kukuh dan ini kerana pergerakan didorong terutamanya oleh faktor luaran seperti jangkaan berlaku perubahan dasar dalam monetari Amerika Syarikat,” katanya lagi.

Namun demikian, ia berkata faktor-faktor positif seperti kenaikan harga komoditi, eksport yang teguh, perkembangan program vaksinasi yang lebih baik dan pemulihan ekonomi lebih stabil diunjurkan pada akhir tahun ini akan menyokong ringgit.

Mengenai prospek bursa tempatan, MIDF Amanah berkata bahawa ia telah mengekalkan sasaran akhir tahun 2021 untuk FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1.700 mata dan menjangkakan dengan ia akan disokong oleh kemajuan program vaksinasi, beberapa program fiskal, dan juga pemulihan ekonomi di seluruh dunia ketika ini.

“Kami menjangkakan bursa tempatan akan mencatatkan prestasi baik kerana penilaian yang ‘undemanding’,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast