Hotel Istana

KUALA LUMPUR – Pengurusan Hotel Istana menyasarkan untuk menamatkan operasi hotel itu pada 1 September ini berikutan persaingan sengit dalam industri dan penularan Covid-19.

Dalam surat kepada kakitangan, Pengurus Besarnya, Noorazzudin Omar berkata, daya saing hotel tersebut menurun berikutan persaingan sengit daripada hotel baharu dan apartmen perkhidmatan yang terletak berhampiran dengannya.

Ia diburukkan lagi dengan penularan Covid-19 yang memberi kesan berterusan kepada industri perhotelan menyebababkan hotel itu menghadapi kesukaran untuk mencapai pertumbuhan normal.

“Dengan dukacita kami memaklumkan anda keputusan kami untuk menamatkan operasi. Hotel ini menyasarkan untuk tutup pada 1 September 2021.

“Kami mengambil keputusan ini selepas menimbang keadaan semasa dan semua pilihan yang ada. Kami tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada meneruskan keputusan untuk menutup,” katanya.

Menurut Noorazzudin yang menandatangani surat tersebut,  penularan Covid-19 telah memberi kesan kepada perniagaan, harga bilik, pulangan dan kadar penginapan hotel yang terletak di tengah-tengah ibu negara walaupun usaha terbaik telah diberikan.

Tambah beliau, walaupun Hotel Istana dijadikan pusat kuarantin pihaknya masih lagi mencatatkan kerugian operasi bulanan.

Ujar Noorazzudin, ia menyebabkan pihaknya melakukan penilaian dan adalah wajar pengurusan hotel itu mengambil keputusan untuk menamatkan operasi.

Katanya, berikutan penamatan operasi itu, pekerja hotel itu akan ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela dan pasukan sumber manusia hotel tersebut akan menghubungi mereka dalam masa beberapa hari lagi. – MalaysiaGazette