Kerja pemasangan kawat berduri akan dilakukan pada tengah malam esok di kawasan kilang dan asrama pekerja di Kuala Muda, Kedah.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan kawasan Kilang Jimat Jaya Sdn. Bhd, kawasan industri ringan Bukit Makmur dan asrama pekerja di No 1, Jalan Seroja 3/2, Taman Seroja, Sungai Lalang, Kuala Muda, Kedah diletakkan bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Ahad hingga 17 Julai ini.

Keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati, dalam tempoh beberapa hari sahaja, sebanyak 471 kes positif telah direkodkan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelaksanaan PKPD itu bagi menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

Ismail Sabri Yaakob

Beliau turut menyenaraikan beberapa lokaliti yang turut dikenakan PKPD selama dua minggu dari 4 hingga 17 Julai ini, iaitu Rumah Panjang Malang anak Bada, Sungai Bayan, Mukah, Sarawak yang didapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu sehingga kini.

“Sebanyak 38 kes positif telahpun direkodkan hasil saringan ke atas 88 penghuni rumah panjang terbabit,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, dua lokaliti di Kota Belud Sabah iaitu Kampung Siasai Dundau dan Kampung Pantai Emas turut diperintahkan pelaksanaan PKPD setelah 18 kes di dua kampung berkenaan.

Ujar beliau, KKM mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di kedua-dua lokaliti tersebut.

Turut diletakkan dalam pelaksanaan PKPD bermula Ahad ini ialah Kampung Naruntung di Pitas; Kampung Iban Kuala Nansang di Tawau; Kampung Babagon, di Penampang, Sabah; dan Taman Nagasari, Mukim 6, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Sementara itu, PKPD Kampung Gusi Kinarut, Papar, Sabah yang sepatunya tamat esok, dilanjutkan lagi dua minggu bermula 4 hingga 17 Julai ini, manakala Kawasan Semarak, Tawau, Sabah ditamatkan hari ini.

Turut ditamatkan pelaksanaan PKPD ialah Perumahan Awam Desa Rejang, WP Kuala Lumpur; PPRT Kampung Pasir Putih, Putatan, Sabah; PKPD Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau, Sungai Lepah, Tanjung Manis, Mukah, Sarawak; dan Kampung Skim Pamalan, Keningau, Sabah. – MalaysiaGazette