Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Proklamasi Darurat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong untuk dilaksanakan di negara ini pada 12 Januari lalu, sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak Covid-19.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, atas alasan itu juga digunakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar baginda mengisytiharkan darurat kesihatan.

“Dalam titah perkenan itu, ada perkara penting yang baginda titahkan, iaitu Proklamasi Darurat akan dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

“Ini kerana baginda amat prihatin terhadap keselamatan rakyat dan kepentingan negara disebabkan kes wabak telah mencecah empat angka,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Kata Ahmad Zahid, ketika Perdana Menteri mendapat perkenan pengisytiharan itu, kes baharu dilaporkan ialah 2,232 kes dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 28,554 kes menjadikan keseluruhan kes positif 138,224 kes.

Bagaimanapun, katanya, kini, selepas kira-kira setengah tahun Proklamasi Darurat dilaksanakan, kes jangkitan Covid-19 kekal empat angka, malah semakin tinggi.

Semalam, sebanyak 6,658 kes baharu dilaporkan, iaitu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 66,958 kes, menjadikan jumlah kes positif 772,607 kes.

Menurut beliau, rakyat terus menderita, hidup dalam kesusahan dan kesengsaraan disebabkan penularan bukan semakin turun, sebaliknya semakin berganda.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal melaksanakan amanah Yang di-Pertuan Agong, iaitu Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak Covid-19 dan melandaikan kes positif harian?

“Mungkinkah kerana itu juga hashtag #kerajaangagal semakin trending di media sosial sehingga hari ini? Jawapannya, rakyat jua mengetahui,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau dah tahu macam tu bantu lah kerajaan, jgn bercakap asyik berbaur politik je, ajak geng2 UMNO yg takde jawatan dlm kerajaan sama sama berganding bahu membantu kearah kebaikan untuk rakyat.

Comments are closed.