Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Mohammed Azman Aziz Mohammed

KUALA LUMPUR – Sebanyak 180,000 penempatan pekerjaan baharu akan dapat direalisasikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Dalam masa yang sama, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohammed, seramai 2.5 juta pekerja juga dapat dikekalkan sehingga 21 Disember 2021.

Jelasnya,  ini merupakan tambahan kepada 180,449 penempatan pekerjaan yang telah berjaya disediakan menerusi Portal MYFutureJobs dan Program Insentif Pengambilan Pekerja sejak 1 Januari tahun ini .

“Bagi memastikan sasaran penempatan pekerjaan ini dicapai, Perkeso akan terus memperkasakan usahanya dalam penganjuran program-program pewujudan dan penawaran pekerjaan di bawah inisiatif Pemulih yang dijadualkan bermula seawal 15 Julai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi memperjelaskan Lanjutan Peranan Perkeso dalam Pemulih menerusi dalam talian hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Insentif Pengambilan Pekerja juga dilanjutkan melalui Program PenjanaKerjaya 3.0 demi menggalakkan peluang pekerjaan baharu.

Ujar Mohamed Azman , menerusi insentif ini majikan layak menerima 40 hingga 60 peratus subsidi daripada gaji yang diberi kepada pekerja dalam tempoh enam bulan.

Turut disediakan kata beliau, kos latihan sehingga RM7,000 juga untuk pekerja yang digajikan termasuk lepasan sekolah dan graduan baharu serta golongan rentan termasuk pekerja berusia, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan bekas banduan.

Manakala, calon-calon yang diambil bekerja pula layak menerima elaun mobiliti sehingga RM1,000 secara “one-off” apabila mereka menghadiri program latihan termasuk kursus pensijilan profesional yang dipilih oleh majikan.

“Program PenjanaKerjaya 3.0 turut melonggarkan syarat tempoh kontrak daripada 12 bulan kepada enam bulan bagi pencari kerja berumur lebih 50 tahun, OKU dan bekas banduan,” kata beliau.

Selain itu katanya, majikan digalakkan menggaji lebih ramai warga tempatan dengan melonggarkan syarat gaji minimum di bawah Program Malaysianization daripada RM1,500 kepada RM1,200 sebulan.

Perkeso kata beliau, turut memperluaskan MYFutureJobs dengan menjalin kerjasama dengan Pusat Internet Komuniti di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Pusat Komuniti Desa di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Perkeso juga telah melatih hampir 200 pengurus Pusat Internet Komuniti serta Pusat Komuniti Desa untuk membantu carian pekerjaan oleh para pencari kerja yang hadir ke pusat-pusat ini,” tambahnya.

Malah, bilangan temu duga terbuka juga ditambah untuk terus memenuhi pelbagai kategori pencari pekerjaan.

Untuk rekod, tahun ini sahaja Perkeso telah menjalankan lebih 1,168 program temu duga dalam talian, manakala hampir 950 program temu duga lagi dijangka akan dilaksanakan secara dalam talian dan fizikal sehingga Disember 2021.

Dalam pada itu, dijangka 229,000 pencari kerja akan dapat menerima manfaat sebanyak RM300 melalui Elaun Mencari Pekerjaan (SIP Prihatin 2.0).

Turut disediakan melalui Pemulih yang digerakkan oleh Perkeso sebagai agensi dipertanggungjawabkan oleh kerajaan adalah insentif KerjayaGig untuk pekerjaan jangka masa pendek dalam sektor informal.

“Insentif ini disediakan dengan mengambil kira peningkatan permintaan terhadap pekerja dalam sektor informal termasuk platform gig, serta membolehkan individu yang diberhentikan kerja, diarah bercuti tanpa gaji, dan golongan rentan termasuk OKU menjana sumber pendapatan menerusi pekerjaan jangka pendek atau melalui platform gig demi kelangsungan hidup, sementara menunggu pekerjaan tetap atau jangka-panjang,” jelas Mohamed Azman.

Memandangkan kadar pengangguran tinggi dalam kalangan belia, insentif KerjayaGig diperluaskan kepada graduan yang masih belum mendapatkan pekerjaan.

“Di bawah skim ini, individu yang bekerja sendiri akan mendapat RM600 sebulan selama 6 bulan jika mereka bekerja minimum 10 jam seminggu, manakala majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka pula akan menerima RM200 secara “one off” bagi setiap pekerja,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast