Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Selaras dengan pengumuman oleh Majllis Keselamatan Negara (MKN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuka semula beberapa pejabat cawangan dan kaunter perkhidmatan di Selangor dan Pahang untuk perkhidmatan tertentu bermula hari ini.

Pejabat cawangan dan kaunter perkhidmatan yang terlibat ialah KWSP Rawang, Shah Alam, Petaling Jaya, Puchong, Klang, Kajang, dan Gombak di Selangor, dan KWSP Kuantan, Pekan dan Jerantut di Pahang, yang akan beroperasi daripada jam 9 pagi sehingga 1 petang pada hari bekerja.

Manakala pejabat dan kaunter KWSP yang berada di luar kawasan PKPD akan terus beroperasi daripada jam 8.30 pagi hingga jam 2 petang seperti yang diumumkan sebelum ini.

Pembukaan semula pejabat cawangan dan kaunter perkhidmatan ini adalah bagi memenuhi keperluan ahli yang ingin membuat transaksi tertentu seperti berikut:

1. Pengeluaran Umur 50, 55, 60 Tahun
2. Pengeluaran Kesihatan
3. Pengeluaran Kematian
4. Penyerahan Arahan Bayaran (PO) dan cek jurubank untuk pengeluaran yang dibuat

Ahli dikehendaki untuk membuat temujanji melalui Janji Temu Online (JTO) di www.kwsp.gov.my. Pihak KWSP akan menghubungi ahli bagi urusan penyerahan Arahan Bayaran (PO) dan cek jurubank untuk pengeluaran yang telah dibuat oleh ahli.

Ahli yang berkunjung ke mana-mana pejabat cawangan dan kaunter perkhidmatan KWSP hendaklah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). Pengambilan suhu dan daftar masuk melalui aplikasi MySejahtera adalah wajib sebelum memasuki mana-mana premis KWSP, dan pengamalan penjarakan sosial perlu dipatuhi setiap masa.

KWSP amat menggalakkan ahli untuk menggunakan i-Akaun (Ahli) atau i-Akaun (Majikan) untuk transaksi yang boleh dibuat secara dalam talian. – MalaysiaGazette